BERITA SEMASA

AGC akan rayu keputusan pembebasan Papagomo

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepaskan dan membebaskan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo daripada pertuduhan menghasut.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti keputusan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang bersidang di Klang, Selangor pada 19 Oktober lalu, yang membebaskan tertuduh pada akhir kes pembelaan.

AGC dalam kenyataan hari ini memaklumkan Notis Rayuan akan difailkan dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan berkenaan.

“Sebelum ini, pihak pendakwaan telah merayu terhadap keputusan terdahulu yang dibuat oleh Mahkamah Sesyen yang sama pada 3 September 2025 yang mana telah melepaskan dan membebaskan tertuduh pada akhir kes pendakwaan,” katanya.

Rayuan berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2025 sebelum mahkamah itu membenarkan rayuan Pendakwa Raya pada 31 Julai 2026.

Mahkamah Tinggi ketika itu memerintahkan tertuduh membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes secara prima facie.

Menurut AGC, tertuduh kemudian memberikan keterangan secara bersumpah di Mahkamah Sesyen sebagai satu-satunya saksi pembelaan.

“Tertuduh sebagai satu-satunya saksi pembelaan telah mengakui mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sepertimana dipertuduhkan dan hanya mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata,” tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, AGC memutuskan untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembebasan terbaharu berkenaan.

Papagomo didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button