
Permohonan pengampunan di Wilayah Persekutuan perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan – Jabatan Peguan Negara
PUTRAJAYA – Semua permohonan pengampunan di Wilayah Persekutuan termasuk kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan, hari ini, keputusan yang kemudiannya akan dicapai Lembaga Pengampunan itu akan mengikut tatacara dan saluran seperti ditetapkan di bawah undang-undang, dan bukannya mana-mana saluran lain.
“Kamar ini dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan.
“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara itu hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa,” kata dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Kenyataan tersebut turut menambah, berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan antara lain bahawa Yang di-Pertuan Agong juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah.
“Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






