AGC tolak permohonan maaf Mona Din, teruskan prosiding komital
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan tetap meneruskan prosiding komital terhadap aktivis Mona Din atau nama sebenarnya Che Muna Din berhubung hantaran di media sosial yang menyentuh prosiding inkues Zara Qairina Mahathir, meskipun beliau telah mengemukakan permohonan maaf pada Jumaat lalu.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan, permohonan maaf yang dimuat naik Mona menerusi Facebook tidak diterima pihaknya dan notis tunjuk sebab bertarikh 10 September lalu masih berkuat kuasa.
“AGC mengambil maklum permohonan maaf serta tindakan beliau memadam hantaran berkenaan. Namun, ia hanya boleh dipertimbangkan sebagai faktor mitigasi dalam proses mahkamah kelak.
“Memandangkan kes ini melibatkan penghinaan terhadap prosiding mahkamah yang sedang berjalan, tindakan tegas perlu diambil agar perkara seumpama ini tidak dipandang ringan,” katanya, memetik laporan Malaysia Gazette.
Menurut Mohd Dusuki, AGC tidak berhasrat membatalkan prosiding kerana ia penting bagi menjaga kewibawaan sistem kehakiman.
Beliau memaklumkan, permohonan perintah komital akan difailkan dalam masa terdekat dan pihaknya akan berhubung dengan peguam Mona berhubung langkah seterusnya.
Permohonan maaf itu merujuk kepada hantaran Mona di Facebook pada 4 September lalu berkaitan inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina.
Hantaran tersebut didapati mempertikai keterangan saksi pakar iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu, Sabah, Dr Jessie Hiu.
AGC berpandangan kenyataan itu berpotensi mempengaruhi pandangan awam dan mengganggu perjalanan prosiding mahkamah.
Dalam kenyataan maafnya, Mona menegaskan beliau tidak berniat mencampuri atau mempertikai prosiding Mahkamah Koroner.
“Saya juga tidak mempunyai niat jahat untuk mempengaruhi pandangan serta persepsi masyarakat, apatah lagi Hakim Mahkamah Koroner yang sedang menjalankan prosiding inkues.
“Saya berjanji untuk tidak lagi membuat sebarang hantaran yang boleh dianggap mengganggu sistem keadilan dan menghina mahkamah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan hantaran tersebut telah dipadam pada 13 September lalu, sekitar pukul 6.18 petang.
Sebelum ini, AGC telah menyerahkan notis tunjuk sebab kepada Mona di bawah Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 sebagai sebahagian daripada prosedur memulakan prosiding komital.
AGC menjelaskan, tindakan itu penting bagi memastikan integriti prosiding inkues tidak terjejas oleh kenyataan luar yang bersifat prejudis terhadap keterangan saksi atau penilaian mahkamah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








