Rayuan kes warga Nigeria ditahan secara tidak sah diteliti
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara sedang meneliti keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi sebanyak RM675,000 kepada seorang lelaki warga Nigeria selepas didapati ditahan secara tidak sah selama kira-kira 40 hari pada tahun 2021.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, pihaknya kini sedang mengkaji keputusan berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.
“Kami sedang meneliti perkara ini dan keputusan akan dibuat secepat mungkin. Semua sudut akan dipertimbangkan,” memetik NST online.
Mahkamah Tinggi membenarkan tindakan saman sivil dikemukakan Simon Adavize Momoh terhadap kerajaan, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara selepas mendapati penahanannya tidak sah di sisi undang-undang.
Hakim Jamhirah Ali turut memerintahkan pampasan am sebanyak RM15,000 sehari sepanjang tempoh penahanan salah itu selain ganti rugi teladan berjumlah RM75,000.
Mahkamah turut memberikan kos sebanyak RM40,000 kepada plaintif bersama faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh writ difailkan pada 10 Januari 2023.
Sebelum itu, pada 23 April 2021, Mahkamah Tinggi melalui prosiding habeas corpus memerintahkan lelaki berusia 38 tahun itu dibebaskan serta-merta selepas membenarkan permohonannya.
Untuk rekod, Momoh ditahan dalam sekatan jalan raya di Cheras pada 15 Mac 2021 atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Dia kemudian mengaku bersalah di mahkamah majistret sebelum dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 yang telah dijelaskan.
Bagaimanapun, selepas selesai menjalani hukuman, dia tidak dibebaskan sebaliknya dihantar ke Penjara Kajang sebelum dipindahkan ke depot tahanan imigresen di Semenyih.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








