Titah Adendum: Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Peguam Negara ketepikan prosiding semakan kehakiman Najib
PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman untuk emaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Keputusan itu sekali gus membolehkan bekas Perdana Menteri tersebut meneruskan proses di Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan perintah berkenaan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.
Titah berkenaan didakwa diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, yang membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Baca juga : Najib tidak ambil langkah mencukupi buktikan adendum tahanan rumah – Peguam Negara
Baca juga : Shafee dakwa ada pihak cuba sembunyikan Titah Adendum YDPA ke-16
Pada 9 Julai lalu, mahkamah selesai mendengar hujahan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan serta peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.
Pada 6 Januari lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab serta mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh Januari tahun lalu.
Dalam permohonan semakan kehakiman itu, Najib menamakan tujuh pihak sebagai responden iaitu Menteri Dalam Negeri; Komisioner Jeneral Penjara; Peguam Negara; Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta Kerajaan Malaysia.
Antara relif yang dipohon Najib ialah supaya responden atau mana-mana seorang daripada mereka menyerahkan salinan titah utama Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda terhadapnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








