JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zara Qairina: Peguam rayu AGC tangguhkan pendakwaan 5 remaja

KOTA KINABALU – Pasukan peguam yang mewakili keluarga Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir merayu Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menangguhkan buat sementara waktu dan mempertimbangkan semula pendakwaan lima remaja yang dikatakan terlibat dalam kes berkenaan.

Peguam, Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser berkata, pihaknya memohon penangguhan itu supaya AGC dapat mempertimbangkan semula pertuduhan yang akan dikenakan.

“Selepas kami mengeluarkan kenyataan media semalam, kami baru mengetahui bahawa lima remaja tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.

“Kami memohon supaya Peguam Negara dapat mempertimbangkan agar semua remaja di atas dituduh di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan,” kata pasukan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, pasukan berkenaan memaklumkan bahawa mereka telah menghantar surat kepada Peguam Negara pada pagi Selasa melalui e-mel berhubung perkara tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, kumpulan itu merayu supaya kesemua remaja terbabit didakwa atas kesalahan lebih berat sekiranya keterangan sedia ada serta hasil siasatan lanjut mencukupi bagi membuktikan pertuduhan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah pada esok hari atau tarikh-tarikh berikutnya, apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar ‘Double Jeopardy’ yang termaktub di dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button