Kes Zara Qairina: Istana Seri Kinabalu nafi dakwaan keluarga Yang Dipertua Negeri terlibat
KOTA KINABALU – Istana Seri Kinabalu menafikan dakwaan yang mengaitkan keluarga Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dengan kematian seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, minggu lalu.
Setiausaha Perhubungan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Datuk Abdulah Hussin menegaskan dakwaan tersebut adalah tuduhan liar, tidak bertanggungjawab serta bersifat fitnah yang boleh menjejaskan nama baik keluarga Tun Musa Aman.
“Istana Seri Kinabalu meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih dan berbaur fitnah.
“Difahamkan, kertas siasatan sudah dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk diperhalusi sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut beliau lagi, penyebaran sebarang maklumat palsu boleh dikenakan tindakan di bawah undang-undang sedia ada, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebarang perkembangan berkaitan siasatan hendaklah dirujuk kepada pihak PDRM atau kepada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham orang awam,” tambahnya.
Zara Qairina, 13, ditemui kira-kira jam 3 pagi pada 16 Julai lalu dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, pelajar tersebut disahkan meninggal dunia keesokan harinya.
Laporan awal menyatakan mangsa dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.
Namun, pelbagai spekulasi tersebar di media sosial termasuk dakwaan yang mengaitkan insiden berkenaan dengan kes buli.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








