JENAYAH & MAHKAMAH

Kes Zara Qairina: AGC teruskan pendakwaan 5 remaja esok

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan pendakwaan terhadap lima remaja perempuan yang didakwa terlibat dalam kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah, esok.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar juga mengesahkan pendakwaan akan diteruskan seperti biasa mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan (Pindaan 2025).

“We will proceed (kita akan teruskan),” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan pasukan peguam keluarga Allahyarham yang memohon pendakwaan terhadap lima remaja terbabit dalam kes buli itu ditangguh sementara.

Pasukan peguam itu dalam satu kenyataan hari ini turut memohon supaya pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Kenyataan itu menyebut, pertuduhan yang dicadangkan iaitu Seksyen 507C (1) adalah terlalu ringan, tidak sepadan dengan tragedi yang berlaku dan mengelak ‘double jeopardy’ (seseorang tidak boleh dibicarakan atau dihukum dua kali atas kesalahan sama) daripada diguna pakai di masa depan.

Untuk rekod, Seksyen 507C (1) memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semalam, Mohd Dusuki mengesahkan lima suspek terbabit kes buli pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah itu, akan didakwa di mahkamah, esok.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button