JENAYAH & MAHKAMAH

Kes tembakan tiga lelaki di Durian Tunggal: AGC arah siasatan diklasifikasi kes bunuh

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan supaya siasatan kes tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menurut AGC dalam satu kenyataan, pihaknya dirujuk berhubung laporan kes tiga lelaki yang ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Melaka.

“Berdasarkan taklimat dan cadangan yang dikemukakan oleh PDRM, Jabatan ini bersetuju dan mengarahkan siasatan diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan bunuh,” katanya hari ini.

Menurut AGC, penelitian awal pihak AGC mendapati beberapa tindakan lanjut masih perlu diambil oleh PDRM bagi melengkapkan siasatan sebelum apa-apa jua keputusan muktamad dibuat.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan berkata polis akan mengemukakan laporan kes tiga lelaki ditembak mati di Melaka bulan lalu kepada Peguam Negara hari ini untuk tindakan lanjut.

Perdana Menteri berkata, pihaknya menerima jaminan daripada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, bahawa siasatan rapi dan telus diadakan tanpa ada tolak ansur.

Beliau berkata, jika wujud keterlanjuran tindakan oleh polis, siasatan rapi tetap dilakukan termasuk dalam kes yang berlaku di Melaka.

Perdana Menteri mengakui masih ada beberapa kelemahan dalam tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) namun tidak adil untuk memberi gambaran yang negatif secara keseluruhannya terhadap pihak berkuasa terbabit.

Pada 24 November lalu, tiga penjenayah berusia antara 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka menyerang anggota polis menggunakan parang di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button