Inkues Zara Qairina: Saksi pakar hilang kelayakan
KOTA KINABALU – Dr Noor Aishah Rosli tidak dibenarkan lagi memberi keterangan sebagai saksi pakar dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, susulan keputusan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.
Amir Shah berkata, saksi ke-76 itu tidak boleh terus berfungsi sebagai saksi pakar dalam prosiding berkenaan kerana ia akan menimbulkan persepsi bahawa mahkamah membenarkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang.
“Saksi ke-76 tidak boleh dibenarkan untuk terus berfungsi sebagai saksi pakar aktif dalam prosiding ini.
“Membenarkan beliau terus memberi keterangan akan menimbulkan tanggapan yang boleh menjejaskan pentadbiran keadilan kerana ia seolah-olah mengesahkan ketidakpatuhan secara sedar terhadap larangan tegas yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.
Dr Noor Aishah, 51, telah memberikan keterangan selama dua hari sejak Isnin lalu dalam kapasitinya sebagai kaunselor berdaftar dan pakar psikologi klinikal kanak-kanak.
Bagaimanapun, beliau mengakui hanya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia dan bukan sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak mengikut Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 (Akta 774).
Semalam, bantahan terhadap kelayakan Dr Noor Aishah untuk meneruskan keterangan selaku saksi pakar telah dikemukakan oleh pegawai pengendali inkues, Nahra Dollah.
Dalam hujahan lisan pagi tadi, beliau berhujah bahawa saksi gagal memenuhi syarat mengikut Akta 774, justeru keterangannya sebagai pakar tidak seharusnya diterima.
Amir Shah berkata, bantahan itu lebih tertumpu kepada persoalan undang-undang, iaitu sama ada seseorang yang dilarang secara statutori daripada mengamalkan profesionnya boleh diterima sebagai saksi pakar, bukannya berkisar pada kredibiliti atau nilai keterangan saksi berkenaan.
Beliau berkata, mahkamah perlu mengimbangi dua kerangka perundangan iaitu Seksyen 45 Akta Keterangan 1950, yang mengawal kebolehterimaan pendapat pakar berdasarkan kemahiran khusus seseorang saksi dan Akta 774, yang digubal bagi mengawal selia standard profesion serta menjadikan amalan tanpa kelayakan sebagai suatu kesalahan.
Bagaimanapun, katanya, timbul persoalan berasingan mengenai keterangan yang sudah direkodkan sebelum ini, termasuk laporan saksi yang ditandakan sebagai Eksibit I-299.
“Saya mengambil maklum bahawa inkues ialah suatu prosiding sui generis, iaitu proses siasatan pencarian fakta yang unik bertujuan semata-mata untuk mencari kebenaran.
“Oleh itu, daripada mengetepikan terus keterangan yang sudah direkodkan, saya berpandangan tindakan paling sesuai ialah mengekalkan rekod sedia ada dan menangguhkan keputusan mengenai kebolehterimaan serta nilai perundangan keterangan itu sehingga inkues selesai.
“Sudah tentu keputusan itu tertakluk kepada keseluruhan keterangan lain yang dikemukakan sepanjang inkues dan hujahan penutup semua pihak,” katanya.
Terdahulu, peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili seorang daripada kanak-kanak yang dikaitkan dengan kes itu, berhujah disebabkan ketidakpatuhan terhadap peruntukan undang-undang, Eksibit I-299 serta pendapat lisan Noor Aishah juga perlu ditolak sepenuhnya sebagai keterangan pakar.
Sementara itu, peguam Shahlan Jufri dan Nurul Rafeeqa Abdul Mutolip, yang mewakili ibu bapa Zara Qairina, berhujah memandangkan inkues adalah prosiding pencarian fakta yang tidak bersifat adversarial, peraturan pembuktian perlu diterapkan secara lebih fleksibel.
Prosiding inkues akan disambung esok.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







