Mufti Sabah, timbalan tidak terlibat proses gali kubur Zara Qairina, nafi dakwaan hidu haruman
KOTA KINABALU – Pejabat Mufti Negeri Sabah menafikan dakwaan kononnya mufti dan timbalannya terbabit dalam proses penggalian semula jenazah seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, baru-baru ini.
Penjelasan itu dibuat selepas tular sebuah rakaman video berdurasi 46 saat di media sosial pada Khamis lalu yang mendakwa mufti serta timbalannya terhidu haruman daripada jenazah tersebut.
Pejabat Mufti Negeri Sabah menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar dan berupaya menjejaskan imej institusi berkenaan.
“Pejabat Mufti Negeri Sabah ingin menegaskan bahawa Mufti Kerajaan Negeri Sabah dan Timbalan Mufti tidak terlibat semasa proses penggalian semula jenazah dilakukan seperti yang didakwa oleh penggali kubur tersebut.
“Kenyataan tersebut adalah fitnah yang boleh menjejaskan reputasi serta kepercayaan masyarakat terhadap Pejabat Mufti Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu turut meminta pihak berkenaan menarik balik tuduhan tersebut serta membuat permohonan maaf secara lisan dan bertulis sebelum tindakan undang-undang diambil.
“Pejabat Mufti Negeri Sabah menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih. Turut dijelaskan bahawa tindakan undang-undang juga boleh diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan kenyataan di dalam video tersebut,” katanya.
Menurut kenyataan sama, pihaknya berharap penjelasan tersebut mampu merungkai salah faham yang timbul dan turut disertakan irsyad hukum mengenai isu kubur arwah Zara Qairina sebagai panduan umat Islam di negeri ini.
“Menziarahi kubur adalah amalan yang dituntut dalam Islam kerana ia menjadi peringatan kepada setiap umat bahawa mereka pasti akan meninggalkan dunia yang fana ini untuk menuju ke hari akhirat yang dijanjikan.
“Namun, dalam melaksanakan tuntutan ini, setiap umat Islam hendaklah menjaga adab yang digariskan oleh syariat serta memberi perhatian kepada segala larangan agar amalan tersebut benar-benar mendapat keredaan ALLAH SWT.
“Antara larangan semasa menziarahi kubur termasuklah meratap, meraung, memukul pipi dan meronta-ronta kerana terlalu bersedih.
“Larangan lain ialah duduk atau merangkak di atas kubur, melangkah atau bersandar pada kubur, serta memijak kubur kecuali jika tiada laluan lain untuk menuju ke sesuatu kubur.
“Umat Islam juga dilarang melakukan perbuatan khurafat yang menjejaskan akidah, seperti menjadikan kubur sebagai tempat sembahan atau pemujaan, mengambil keberkatan daripada kubur, serta meniru adat atau amalan agama lain seperti membawa kalungan bunga,” katanya.
Pejabat Mufti Negeri Sabah turut menegaskan agar isu berkaitan kubur arwah Zara Qairina dihadapi dengan penuh kesedaran dan berpandukan ajaran Islam.
“Semoga dengan pendekatan yang sederhana dalam setiap tindakan menjadi asbab bagi umat ini diberikan inayah serta hidayah daripada ALLAH SWT serta sentiasa berada di dalam reda dan maghfirahNya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








