Kes Zara Qairina: KPM buat laporan polis
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sudah membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran video dan penulisan mengenai kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Laporan polis itu dibuat KPM di sini selepas dinasihat Bahagian Undang-Undangnya, selain laporan sama dibuat di Sabah oleh guru Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah dan ibu bapa kepada pelajar yang nama, gambar serta identiti mereka disebarkan kononnya terbabit dalam kes berkenaan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan polis itu dibuat sejajar dengan keutamaan kementerian bagi menjaga kesejahteraan pelajar dan warga sekolah kerana sebaran berita palsu itu bukan saja menjejaskan emosi individu yang terlibat malah turut mengancam keselamatan, lapor BH Online.
Beliau berkata, antara lain sebaran maklumat palsu itu sama ada dalam bentuk video atau tulisan yang dimuat naik dalam media sosial dan dikongsi secara meluas, boleh menimbulkan kemarahan pihak lain yang akhirnya mungkin menyebabkan pelajar atau guru terdedah kepada tindakan tidak diingini dilakukan terhadap mereka.
Tambah Fadlina, laporan polis itu juga bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat dakwaan dibuat dan mengambil tindakan terhadap mereka terbabit jika ia terbukti tidak benar.
“Siasatan kes Zara Qairina ini dibuat polis dan kita serahkan kepada pihak berkuasa mengendalikannya. Malangnya pada masa sama, ramai yang muncul menyebarkan berita palsu berhubung kematian Zara dengan pelbagai tuduhan dan fakta tidak benar.
“Bagi menjaga kesejahteraan dan melindungi pelajar serta guru, BUU KPM mengumpul semua berita palsu ini dan membuat laporan polis mengenainya untuk tindakan lanjut termasuk video seorang wanita membuat ulasan kononnya kecederaan dalaman dialami Zara akibat dimasukkan dalam mesin basuh.
“Selain itu, ibu bapa kepada pelajar yang namanya dikaitkan dalam kes ini juga turut membuat laporan polis demi keselamatan anak mereka.
“Bayangkan bagaimana jika kesan hasil sebaran berita palsu ini menyebabkan pelajar atau guru diugut dan dipukul, atau siasatan kelak menunjukkan mereka tidak bersalah, tetapi mereka sudah ‘dihukum’ dengan pelbagai tuduhan palsu,” katanya, hari ini.
Fadhlina berkata, susulan laporan polis dibuat KPM itu, ada pihak yang aktif menyebarkan berita palsu sudah menarik bahan dimuat naik mereka di media sosial dan berhenti berbuat demikian.
Beliau berkata, semua pihak perlu memahami kejadian yang berlaku bukan saja memberi tekanan kepada keluarga mangsa, malah turut menjejaskan kesihatan mental pelajar dan guru sekolah itu yang perlu berdepan dengan pelbagai andaian serta tohmahan akibat tragedi itu.
“Orang nampak seperti KPM diam, tetapi sebenarnya kita sentiasa melindungi dan memastikan kesejahteraan pelajar serta warga sekolah terpelihara.
“Kita bantu siasatan terutama dalam proses soal siasat membabitkan 60 saksi daripada sekolah itu yang perlu dibuat mengikut panduan undang-undang dan menepati Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








