BERITA SEMASA

Ibu meninggal dunia selepas pengebumian anak

SUBANG JAYA – Seorang wanita warga emas meninggal dunia selepas rebah ketika menghadiri pengebumian anak lelakinya di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, di sini semalam.

Saripah Nariah Sayed Hanip, 76, sebelum itu hadir ke Masjid As-Salam, Puchong untuk menguruskan jenazah anaknya, Syed Salim Syed Abdullah, 56, yang meninggal dunia pada 12.57 tengah malam hari sama.

Ahli keluarga, Shafarhan Kahar, 41, berkata Saripah ketika itu duduk di atas kerusi roda sebelum tiba-tiba rebah ketika proses pengebumian sedang berlangsung.

meninggal sama
Allahyarham Syed Salim dan ibunya, Allahyarhamah Saripah Nariah.

“Dia duduk atas kerusi roda, tiba-tiba kepalanya terus terkulai.

“Kebetulan di lokasi terdapat seorang doktor yang juga kawan arwah abang ipar dan segera memberikan bantuan,” katanya.

Menurutnya, usaha bantuan pernafasan kecemasan (CPR) bagaimanapun tidak mendapat tindak balas sebelum ambulans tiba dan membawa Saripah ke Hospital Serdang.

“Saripah kemudian disahkan meninggal dunia pada 11.39 pagi hari sama.

“Sebelum kejadian itu, dia (ibu mentua) tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa dan masih berbual dengan ahli keluarga serta tetamu yang hadir,” katanya.

Shafarhan berkata, Syed Salim dimasukkan ke hospital pada malam 7 Ogos lalu selepas menghidap kanser usus sebelum disahkan meninggal dunia.

“Memang kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini. Tak sangka dalam satu hari, kami kehilangan abang ipar dan kemudian mak mentua pula meninggal dunia,” katanya memetik laporan Metro Online.

Jenazah Syed Salim dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 22, manakala jenazah Saripah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat pada malam sama.

Sementara itu, kenalan keluarga, Izzat Johari yang juga Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Sejagat), berkata beliau sempat berbual dengan Saripah ketika tiba di Puchong selepas dimaklumkan mengenai kematian anaknya.

“Bila tengah uruskan jenazah bersama, saya terus pergi ke Puchong. Sempat berbual dan jumpa dengan mak kepada arwah.

“Mak arwah turut meluahkan kesedihan kerana sebelum ini kawan baik saya yang juga timbalan NGO sudah meninggal dunia. Bapa arwah pula meninggal dunia dua tahun lalu,” katanya.

Katanya, kejadian itu mengejutkan semua yang berada di lokasi kerana tidak menyangka keluarga berkenaan akan berdepan satu lagi kehilangan pada hari sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button