BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Polis, MCMC tunggu maklumat TikTok siasat kes Zara Qairina – Fahmi

KUALA LUMPUR – Polis bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini menunggu maklumat daripada pihak TikTok berhubung dakwaan seorang individu yang mendakwa dirinya hadir pada proses bedah siasat jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Ahad lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan secara terperinci dan tindakan lanjut akan dibuat mengikut lunas undang-undang.

“Kami sedang menunggu maklumat daripada pihak TikTok untuk membantu siasatan. Perkara ini saya serahkan kepada pihak polis dan MCMC untuk mendapatkan maklumat itu serta mengambil tindakan sewajarnya,” katanya selepas merasmikan program Budaya@Komuniti Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial perkongsian seorang individu yang mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat jenazah Zara Qairina.

Namun, semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu terbabit bukan seorang doktor pakar mahupun petugas kementerian.

Dalam masa sama, polis turut menyiasat akaun TikTok @berjuanguntukzara yang memuat naik kandungan tidak tepat berhubung kematian pelajar berusia 13 tahun itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar sebelum ini memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Allahyarhamah Zara Qairina sebelum ini ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kes berkenaan mencuri perhatian ramai di media sosial apabila ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli di sekolah tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button