BERITA SEMASA

RISDA bantu usahakan semula 38,000 hektar kebun getah terbiar di Sarawak

KUCHING – Sebanyak 38,000 hektar kebun getah matang milik pekebun kecil di Sarawak berpotensi diusahakan semula menerusi bantuan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bagi meningkatkan pengeluaran getah negara.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kawasan berkenaan dikenal pasti tidak ditoreh dan kini RISDA sedang berusaha mengesan pemiliknya untuk menentukan kaedah pengusahaan yang bersesuaian.

Katanya, pemilik yang mahu mengusahakan sendiri kebun berkenaan boleh mendapatkan bantuan menerusi program disediakan RISDA, manakala RISDA Plantation boleh mengambil alih pengusahaan bagi pihak pemilik yang tidak berhasrat mengusahakannya sendiri.

“Kalau dia tak nak usaha, RISDA Plantation akan usaha sebab kita tak nak membazirkan ladang-ladang yang dah ada tapi tak bertoreh kerana tujuan utama kita adalah untuk meningkatkan pengeluaran getah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Peringkat Zon Sarawak Tahun 2026, di sini hari ini.

Rubiah berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan pokok getah yang sudah matang terus menghasilkan pendapatan dan tidak dibiarkan tanpa diusahakan.

“RISDA sedang berusaha mengenal pasti pemilik kebun terbabit sebelum rundingan dibuat bagi menentukan kaedah pengusahaan yang sesuai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran getah berdasarkan kawasan tanaman sedia ada seluas kira-kira 161,000 hektar.

Katanya, masih terdapat kawasan yang sesuai untuk tanaman getah tetapi belum diusahakan, sekali gus membuka peluang untuk memperluas pengeluaran komoditi berkenaan.

“Usaha meningkatkan pengeluaran getah itu penting bagi membantu negara mencapai sasaran satu juta tan metrik menjelang 2030,” katanya.

Menurutnya, sasaran berkenaan memerlukan peningkatan produktiviti pekebun kecil menerusi amalan pertanian baik, penggunaan teknologi moden serta kaedah penorehan yang lebih berkesan.

Rubiah berkata, pekebun kecil menyumbang 89.4 peratus kepada pengeluaran getah asli negara berdasarkan rekod Jabatan Perangkaan pada Mei 2026.

Sementara itu, inisiatif Pembeli Getah Utama atau Anchor Buyer yang dilaksanakan RISDA menerusi RISDA Plantation Sdn Bhd merekodkan pembelian 183 tan metrik hasil getah pekebun kecil di Sarawak sehingga akhir Julai lalu.

Betong mencatatkan jumlah pembelian tertinggi sebanyak 66.22 tan metrik, diikuti Samarahan sebanyak 61.10 tan metrik dan Sibu sebanyak 31.96 tan metrik.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak mencatatkan 1,116.78 hektar kawasan tanam semula getah tahun ini, menjadikannya penyumbang terbesar dengan 28 peratus daripada keseluruhan pelaksanaan Program Tanam Semula RISDA 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button