MK3D 2025: KKDW, KUSKOP, FELDA anjur program karnival berskala besar
KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bakal menganjurkan program berskala besar sempena Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D) pada 30 Julai hingga 3 Ogos ini.
Program itu akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.
Bertemakan ‘Desaku Mendunia’, MK3D merupakan acara berprestij yang menggabungkan tiga program keusahawanan utama iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh KKDW, Hari Peneroka FELDA oleh FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh KUSKOP.
“Karnival selama lima hari ini bakal menjadi platform mempromosi dan medium bagi mewujudkan akses pasaran produk dan perkhidmatan usahawan luar bandar terus kepada pemborong, pengedar dan pembeli.
“MK3D 2025 juga mampu meningkatkan daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar serta meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar,” menurut KKDW dalam satu kenyataan hari ini.
Lebih 1,000 usahawan bakal menyertai MK3D 2025 yang menjanjikan peningkatan pendapatan yang signifikan.
“Selain itu, institusi pembiayaan akan dibawa menyertai MK3D 2025 untuk meningkatkan akses kepada peluang perniagaan bagi membantu pertumbuhan dan pengembangan perniagaan usahawan.
“Di MK3D 2025 juga, terdapat syarikat yang bakal menawarkan padanan perniagaan bagi meningkatkan keupayaan usahawan untuk terus kekal berdaya saing dalam pasaran,” kata kenyataan itu lagi.
MK3D 2025 menjanjikan lebih 100 aktiviti pengisian kepada para pengunjung selain Konsert Kemuncak yang bakal mempersembahkan artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul, Adira Suhaimi, Khai Bahar, Akim & Majistret yang dibawakan secara percuma untuk para pengunjung.
Untuk maklumat lanjut, layari https://megakarnival3dimensi.my/.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








