BERITA SEMASA

Mangsa bunuh di Yong Peng calon pelajar cemerlang SPM

BATU PAHAT – “Ketika kelas tambahan berlangsung (semalam), arwah tiada dalam kelas. Kami sangkakan dia tidak hadir kerana tidak sihat.”

Demikian kata rakan sekelas kepada pelajar Tingkatan Empat yang ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini semalam.

Rakan mangsa berusia 16 tahun itu berkata, seorang guru ada bertanyakan tentang arwah tetapi mereka tidak mengetahui punca ketidakhadirannya.

“Saya pun baru dapat tahu arwah tidak pulang ke rumah. Jadi ketika itu, saya tidak fikir ada perkara yang bukan-bukan berlaku terhadapnya.

“Sebelum itu, ada pelajar perempuan mengesyaki sesuatu tetapi mereka tidak memberitahu lanjut,” katanya memetik laporan BH Online.

Bagaimanapun katanya, seorang guru ada menghubungi setiap pelajar selepas maghrib, serta bertanyakan waktu kelas tambahan bermula dan berakhir, semalam.

“Saya pelik dan bertanya hal itu kepada guru. Guru terbabit akhirnya memberitahu sesuatu ‘buruk’ telah berlaku di sekolah ketika itu.

“Saya terkejut dan tidak menjangka kejadian itu boleh berlaku,” katanya.

BACA JUGA:
Pelajar Tingkatan Empat ditemukan maut di sekolah, dipercayai dibunuh

Menurutnya lagi, arwah adalah antara pelajar terbaik di sekolah itu dan berpotensi meraih semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun depan.

“Dia fokus dalam pembelajaran dan aktif dalam aktiviti sekolah. Kerana itulah, kami seperti tidak percaya apa yang berlaku terhadapnya.

“Kami masih terbayang wajahnya dan tidak sangka akan kehilangannya,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang semalam, pelajar perempuan dikenali sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal itu dijumpai maut dengan kesan kecederaan pada badan, dipercayai dibunuh di dalam dewan sekolahnya.

Mangsa ditemui nenek dan rakannya yang datang ke sekolah selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah walaupun kelas tambahan sudah berakhir.

Difahamkan, mangsa tinggal dengan nenek berikutan ibunya sudah lama meninggal dunia akibat kanser, manakala bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

Ketika ditemui, terdapat kesan darah kering pada badan mangsa, selain lebam seolah-olah dipukul.

Selain itu, pasu pecah turut dijumpai berdekatan mangsa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi memaklumkan kes masih dalam siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button