BISNES & EKONOMI

Pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan turun 8.2 peratus pada 2025

KUALA LUMPUR – Pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan menurun 8.2 peratus kepada RM185.577 bilion pada 2025 berbanding RM202.248 bilion pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Audit Negara.

Menerusi kenyataan mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2026, Jabatan Audit Negara memaklumkan penurunan itu antara perkembangan positif dalam pengurusan hutang Kerajaan Persekutuan bagi tempoh berkenaan.

Daripada jumlah pinjaman baharu itu, katanya, sebanyak RM106.144 bilion digunakan untuk membayar balik prinsipal pinjaman terdahulu yang matang pada 2025, manakala RM75.560 bilion dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan bagi tujuan perbelanjaan projek pembangunan.

Kadar pertumbuhan hutang Persekutuan bagi tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025 turut menurun daripada 10.2 peratus kepada 5.9 peratus.

Pada masa sama, prestasi kewangan Kerajaan Persekutuan pada 2025 bertambah baik dengan peningkatan lebihan hasil RM2.184 bilion dan pengurangan defisit RM3.878 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menurun daripada 4.1 peratus kepada 3.7 peratus pada 2025.

“Pencapaian ini lebih kukuh berbanding sasaran 3.8 peratus ditetapkan dalam Belanjawan 2025. Ini meletakkan asas yang baik untuk mencapai sasaran defisit jangka masa sederhana di bawah tiga peratus,” menurut kenyataan itu.

LKAN 2/2026 mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2025, Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri dan Agensi Negeri, Aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi Negeri dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Negeri dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, laporan itu turut memberi perhatian terhadap pengurusan Pinjaman Boleh Dituntut apabila kutipan tunggakan pada 2025 hanya berjumlah RM0.465 bilion atau lima peratus daripada RM9.273 bilion.

Jabatan Audit Negara berkata, penstrukturan semula pinjaman perlu dibuat, namun tunggakan baharu masih berlaku walaupun pinjaman telah distruktur semula.

Kerajaan Persekutuan turut menghapus kira sejumlah RM578.32 juta tunggakan bayaran balik membabitkan 23 pinjaman pada 2025.

Jumlah itu terdiri daripada RM127.33 juta baki pokok belum selesai serta faedah dan faedah lewat berjumlah RM450.99 juta.

“Ketua Audit Negara mengesyorkan Kementerian Kewangan memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan, memperketat penilaian risiko serta menilai semula keberkesanan penstrukturan semula pinjaman,” menurut kenyataan itu.

Fokus utama pengauditan dalam LKAN kali ini turut merangkumi Pembayaran Akaun Amanah Khas, Wang Pendahuluan Kontraktor, Akaun Belum Terima Kos Pengalihan Utiliti dan laporan pengurusan Projek Littoral Combat Ship (LCS) hasil pengauditan secara interim setakat Julai 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button