BERITA SEMASA

Harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99, RON97 dan diesel naik ikut pasaran – MOF

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi melindungi rakyat, walaupun harga minyak mentah global kini melebihi AS$100 (RM391) setong susulan konflik di Asia Barat.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, harga bahan api lain diselaraskan mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM) sejajar peningkatan harga global.

“Walaupun Malaysia ialah negara pengeluar minyak, produk petroleum bagi kegunaan domestik masih diperoleh melalui pasaran global.

“Justeru, harga bahan api domestik kekal dipengaruhi oleh pergerakan harga antarabangsa.

“Namun begitu, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan harga tersebut kepada rakyat,” menurut kenyataan MOF.

Bagi tempoh 19 hingga 25 Mac 2026, harga runcit RON97 ditetapkan pada RM4.55 seliter, manakala diesel di Semenanjung Malaysia meningkat kepada RM4.72 seliter.

Harga RON95 tanpa subsidi kekal RM3.27 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak berubah pada RM2.15 seliter.

Menurut MOF, langkah mengekalkan harga RON95 bersubsidi di bawah inisiatif BUDI95 serta harga diesel tertentu menyebabkan kerajaan menanggung beban subsidi melebihi RM3 bilion sebulan.

“Melalui BUDI95, penerima yang layak akan terus dapat membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter bagi melindungi isi rumah daripada kesan kenaikan harga minyak dunia,” katanya.

Kerajaan turut mengekalkan harga RON95 tanpa subsidi bagi mengelakkan tekanan kos tambahan kepada rakyat, khususnya menjelang musim perayaan Aidilfitri.

Selain itu, lebih 400,000 kenderaan sektor pengangkutan awam dan barangan darat terus dilindungi melalui skim subsidi bersasar seperti Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

MOF menegaskan pendekatan bersasar itu bertujuan mengurangkan kesan kenaikan harga bahan api terhadap kos sara hidup, pengangkutan dan harga barangan, di samping memastikan kestabilan ekonomi.

Pada masa sama, pemantauan dan penguatkuasaan akan dipertingkat bagi membendung ketirisan serta penyeludupan bahan api rentas sempadan.

“Kerajaan MADANI akan terus engambil pendekatan berhemah dan bertanggungjawab dalam mengurus harga bahan api domestik susulan ketidaktentuan berterusan dalam pasaran minyak global,” katanya.

Malah, MOF menegaskan meskipun berhadapan kenaikan harga minyak global, harga bahan api di Malaysia
kekal antara yang lebih rendah di rantau ini hasil langkah Kerajaan MADANI mengekalkan sebahagian subsidi bagi melindungi rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi domestik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button