Pemuda UMNO gesa kerajaan kaji semula formula harga minyak
KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran meneliti semula formula penetapan harga minyak di Malaysia susulan penurunan harga bahan api di Thailand selepas negara itu menyemak semula mekanisme penentuannya.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, langkah Thailand yang menyesuaikan harga minyak berdasarkan penurunan harga pasaran dunia menunjukkan keperluan untuk Malaysia mempertimbangkan pendekatan yang lebih responsif terhadap perubahan semasa.

Menurut beliau, harga minyak di Malaysia ketika ini ditentukan berdasarkan purata harga bagi minggu sebelumnya, menyebabkan pengguna tidak dapat menikmati penurunan harga secara serta-merta walaupun harga minyak dunia telah menurun.
“Pada minggu lepas, kerajaan Thailand telah melihat semula formula harga minyak mereka dan apabila harga minyak dunia telah turun semalam, maka hari ini harga minyak mereka turut turun.
“Manakala di Malaysia, harga minyak kita terus meningkat akibat formula penentuan harga minyak yang berdasarkan purata harga minggu sebelumnya,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sehubungan itu, Dr Akmal mencadangkan agar kerajaan Malaysia mengkaji semula formula sedia ada dengan mencontohi pendekatan yang digunakan oleh Thailand demi memastikan rakyat dapat menikmati harga bahan api yang lebih adil dan selari dengan trend pasaran global.
Beliau turut menyindir pihak yang sebelum ini mendakwa memiliki ‘raja formula’ yang mampu menurunkan harga minyak, agar penyelesaian tersebut dikemukakan semula bagi membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Jadi mungkin kerajaan Malaysia boleh melihat semula formula yang digunakan oleh Thailand untuk menentukan harga minyak ataupun mencari semula ‘raja formula’ yang sebelum ini kata boleh turunkan minyak,” ujarnya.
Terdahulu, mekanisme penetapan harga runcit petroleum di Malaysia dilaksanakan melalui sistem Automatic Pricing Mechanism (APM) yang mengambil kira purata harga pasaran minyak mentah dunia serta kadar pertukaran mata wang bagi tempoh tertentu sebelum diumumkan secara mingguan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















