BERITA SEMASA

SST: Kerajaan kekalkan barangan keperluan asas, bahan pembinaan tanpa cukai

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk mengekalkan barangan keperluan asas dan bahan pembinaan tanpa dikenakan cukai adalah bertujuan untuk mengelakkan kesan langsung terhadap kos sara hidup majoriti rakyat.

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kadar inflasi kekal terkawal dan tidak memberi bebanan tambahan kepada rakyat.

Menurutnya, antara barangan yang dikekalkan tanpa cukai adalah ayam, lembu, ikan, udang, sotong, sayuran, buah-buahan tempatan serta beras.

“Ia turut meliputi barli, oat, gandum, tepung, sardin tin, gula, garam, roti putih, pasta, bihun, mi, mi segera, susu, minyak masak, ubat, peranti perubatan, buku, jurnal, surat khabar dan makanan peliharaan,” katanya dalam satu hantaran di laman X hari ini.

Selain itu, katanya, bahan asas pembinaan seperti simen, batu dan pasir serta input sektor pertanian seperti baja, racun, jentera pertanian dan penternakan turut dikekalkan tanpa cukai.

Menurutnya lagi, barangan perubatan, ubat-ubatan dan barangan keagamaan juga akan terus kekal dikecualikan daripada cukai.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan turut mengumumkan bahawa mulai 1 Julai ini, semakan kadar dan perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dilaksanakan secara bersasar.

Katanya, antara barangan yang akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus termasuklah ‘king crab’, salmon, kod, cendawan truffle, buah-buahan import, essential oil, kain sutera dan jentera industri.

Ujarnya, beberapa barangan premium lain seperti basikal lumba dan lukisan tangan antik pula akan dikenakan cukai jualan sebanyak 10 peratus.

“Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan untuk meliputi enam jenis perkhidmatan bermula 1 Julai ini, iaitu sewaan atau pajakan, kerja pembinaan, kewangan, jagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button