
Malaysia catat lebihan akaun perkhidmatan buat pertama kali selepas 14 tahun
KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia terus menunjukkan pemulihan berstruktur apabila akaun perkhidmatan negara mencatat lebihan RM0.7 bilion pada suku ketiga 2025, sekali gus menamatkan rekod defisit yang berlarutan selama 14 tahun.
Perkembangan itu dilihat sebagai antara petunjuk penting kepada peningkatan ketara aktiviti ekonomi domestik, termasuk sektor berkaitan pelancongan, teknologi, serta perkhidmatan profesional dan digital.
Dalam kenyataan Kementerian Kewangan (MOF) hari ini, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, prestasi memberangsangkan itu turut menyokong pertumbuhan keseluruhan ekonomi negara yang berkembang 5.2 peratus pada suku ketiga tahun ini.
“Dengan permintaan domestik yang berdaya tahan, pasaran buruh stabil dan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan serta nilai tinggi, kerajaan sedang membina asas yang kukuh untuk momentum ekonomi yang mampan sepanjang tahun ini,” katanya.
MOF menjelaskan prestasi suku ketiga didorong kekukuhan merentas semua sektor, selain permintaan domestik yang kekal menjadi pemacu utama apabila mencatat pertumbuhan 5.8 peratus berbanding tujuh peratus pada suku sebelumnya.
Kementerian itu turut memaklumkan pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih RM8.5 bilion, selari dengan petunjuk ekonomi yang lebih baik.
Mengenai prestasi mata wang, ringgit kekal stabil pada RM4.2070 berbanding dolar Amerika Syarikat, meningkat 0.1 peratus dan terus berada dalam kelompok mata wang paling berprestasi di Asia.
Menurut MOF, Kerajaan MADANI komited memperkukuh kerangka Ekonomi MADANI melalui pembaharuan struktur dan fiskal bagi meningkatkan produktiviti negara, memperkemas daya saing serta menggalakkan pelaburan berkualiti tinggi dan pendigitalan.
Kerajaan juga kekal dengan sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus pada 2025 dan 3.5 peratus pada 2026.
“Melangkah ke hadapan, Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan MADANI Keempat akan memacu trajektori ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan rakyat terus dilindungi, di samping memastikan manfaat pertumbuhan dapat dinikmati bersama,” tambah MOF.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








