BERITA SEMASAPMX

Anwar umum setiap sen royalti buku terbaharunya disumbangkan kepada pelajar miskin

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan setiap sen royalti daripada buku terbaharunya, Rethinking Ourselves: Justice, Reform and Ignorance in Postnormal Times, akan disalurkan sepenuhnya kepada pelajar kurang berkemampuan di negara ini.

Beliau berkata, naskhah berkenaan diterbitkan secara global oleh Hurst untuk pasaran United Kingdom, Amerika Syarikat dan Eropah; Penguin untuk Asia; dan Hong Kong University Press untuk China dan Asia Timur, dengan unjuran royalti yang dijangka besar susulan harga ditentukan oleh penerbit.

“Insya-Allah, setiap sen royalti daripada hasil jualan buku ini akan disalurkan kepada pelajar-pelajar miskin agar ilmu terus subur dan membuka jalan perubahan buat mereka mengangkat nasib diri serta keluarga.

“Kerana akhirnya, kekuatan sesebuah negara tidak diukur pada wacana pemimpinnya, tetapi pada masa depan yang bebas dan bermaruah untuk generasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook semalam.

Mengulas mengenai buku itu, Anwar berkata, buku itu dikarang lebih sedekad meliputi sebahagian daripada catatan peribadinya semasa di Penjara Sungai Buloh, serta refleksi daripada pelbagai fasa kehidupannya sebagai aktivis, menteri dan tahanan politik.

Beliau berkata, naskhah itu mengetengahkan persoalan penting mengenai usaha memerangi rasuah yang merosakkan maruah negara, menyembuhkan perpecahan kaum, menolak fahaman ekstremisme agama serta bagaimana sebuah negara pascakolonial berupaya mengembalikan kedaulatan pemikiran dan martabat rakyatnya.

“Saya turut mengangkat zeitgeist atau cabaran zaman baharu, termasuk arus digital, kecerdasan buatan dan peralihan tenaga, yang menuntut negara ini mengejar kemajuan tanpa kehilangan jiwa.

“Teknologi memperkasa kita, namun nilai dan perikemanusiaan memberi makna kepada kemajuan,” katanya.

Sebelum ini, Anwar turut menghasilkan The Asian Renaissance, yang diterbitkan pada 1996 semasa beliau berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button