BERITA SEMASA

KKM nafi dakwaan potongan bajet operasi RM3.06 bilion, jelas waran sekatan hanya RM500 juta

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menafikan dakwaan bahawa kementerian itu mengalami pemotongan bajet operasi atau perkhidmatan kesihatan sebanyak RM3.06 bilion, sebaliknya menjelaskan waran sekatan peruntukan mengurus (OE) yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) hanyalah berjumlah RM500 juta.

Dalam kenyataan media, KKM memaklumkan bahawa di bawah Belanjawan 2026, kementerian itu menerima peruntukan sebanyak RM46.5 bilion, sekali gus menjadi penerima peruntukan kedua terbesar negara dan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkasa sektor kesihatan.

Menurut KKM, waran sekatan yang dikeluarkan pada 5 Jun lalu merupakan pelarasan teknikal terhadap lebihan peruntukan bagi jawatan kosong yang tidak dapat diisi tahun ini, dan bukannya seperti yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

“Pelarasan berkenaan tidak melibatkan 18,641 jawatan yang telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk KKM bagi tahun 2026,” katanya.

KKM turut menegaskan sekatan tersebut tidak melibatkan peruntukan operasi dan perolehan aset kementerian.

Justeru katanya, peruntukan bagi pembelian ubat-ubatan, vaksin, bekalan perubatan, penyelenggaraan hospital serta operasi harian klinik dan fasiliti kesihatan awam akan diteruskan seperti biasa.

Selain itu katanya, peruntukan latihan KKM juga tidak terjejas dan program pembangunan kepakaran serta modal insan akan diteruskan mengikut perancangan asal.

Sehubungan itu, KKM menyifatkan dakwaan bahawa kementerian berdepan pemotongan bajet operasi atau perkhidmatan kesihatan sebanyak RM3.06 bilion sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Menurut kementerian itu, angka RM3.06 bilion yang ditularkan hanyalah anggaran penjimatan awal berdasarkan formula MOF dan bukannya jumlah waran sekatan yang dimuktamadkan.

KKM memberi jaminan bahawa perkhidmatan kesihatan kepada rakyat akan terus berjalan seperti biasa, dengan operasi hospital, klinik kesihatan dan fasiliti kesihatan awam di seluruh negara kekal beroperasi sepenuhnya, manakala akses rakyat kepada rawatan dan ubat-ubatan sentiasa terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button