PRN Johor: Pas tampil 11 calon, majoriti muka baharu termasuk dua wanita
MUAR – PAS mempertaruhkan seramai 11 calon bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, dengan majoritinya terdiri daripada muka baharu termasuk calon termuda berusia 30 tahun.
Pengumuman senarai calon itu dibuat Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengumuman Calon Perikatan Nasional (PN) di Bakri, di sini malam tadi.
Ahmad Samsuri berkata, kira-kira 80 peratus daripada calon yang diketengahkan merupakan muka baharu, manakala dua daripadanya ialah calon wanita.
Menurut beliau, calon termuda ialah Hasnol Hakim, 30, yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau.
PAS mempertaruhkan Saifullah Abdul Wahab di DUN Jementah, Normala Sudirman (Tenang), Arshed Yahya @ Awang (Simpang Jeram), Mohamad Anuar Hayan (Maharani), Muhammad Amin Sailan (Sungai Balang), Halim Kepol (Semerah), Ahmad Rosdi Baharu (Seri Medan), Hasnol Hakim (Endau), Yuhanita Yunan (Pasir Raja), Khirul Mutanazar Ismail (Tiram) dan Mazlan Bujang (Kahang).
Normala, 53, dan Yuhanita, 51, merupakan dua calon wanita yang ditampilkan PAS pada pilihan raya kali ini.
Dalam pada itu, Mohamad Anuar Hayan sekali lagi diberi kepercayaan mempertahankan kerusi DUN Maharani, satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS pada PRN Johor 2022.
Mengulas keputusan PAS bertanding hanya 11 kerusi berbanding 15 pada PRN lalu, Ahmad Samsuri berkata, jumlah kerusi yang ditandingi ditentukan berdasarkan pertimbangan strategik dan situasi politik semasa.
“Mana-mana parti yang ingin bertanding dalam pilihan raya, tentulah membuat pertimbangan berdasarkan keadaan semasa berbanding lima atau empat tahun lepas.
“Saya rasa ia tidak memberikan gambaran apa-apa yang negatif. Kita bertanding, kita nak menang dalam pilihan raya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau turut memaklumkan PAS akan menggunakan logo PN sepanjang kempen dan pertandingan pada PRN Johor kali ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








