Taman Bayu Damai perlu tindakan segera, audit keselamatan menyeluruh – Faizul
PENGERANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menggesa tindakan segera diambil bagi menangani isu kerosakan rumah dan mendapan tanah di Taman Bayu Damai menerusi audit keselamatan, penilaian teknikal serta penyelarasan yang lebih berkesan antara agensi berkaitan.
Beliau berkata, hasil tinjauannya ke beberapa unit rumah di kawasan berkenaan mendapati terdapat pelbagai kerosakan struktur termasuk lantai retak, ruang bawah lantai yang terhakis serta kesan mendapan tanah yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penghuni.
Menurut Faizul, keadaan itu menunjukkan isu yang berlarutan sejak sekian lama masih belum menemui penyelesaian menyeluruh walaupun rumah transit tersebut pada asalnya dibina sebagai penempatan sementara.
“Apa yang saya lihat di Taman Bayu Damai bukan sekadar lantai retak atau tanah mendap. Ini adalah lambang masalah lama yang masih belum selesai. Penduduk berhak tinggal dalam rumah yang selamat, bukannya terus hidup dalam kebimbangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Taman Bayu Damai mempunyai sejarah tersendiri sebagai penempatan penduduk yang terjejas akibat pembangunan kawasan Pengerang.

Ujarnya, rumah transit itu dibina sekitar 2014 dan mula diduduki pada 2016 bagi menempatkan penduduk yang terlibat dengan pembangunan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).
Bagaimanapun, katanya, status penempatan sementara itu berlarutan apabila sebahagian penduduk masih menghuni rumah berkenaan sehingga kini kerana penyelesaian perumahan yang lebih kekal belum dapat dinikmati sepenuhnya.
Faizul menjelaskan, penduduk pada asalnya dijangka dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pengerang yang melibatkan 300 unit kediaman.
“Projek yang bermula sekitar 2019 dan disasarkan siap pada 2021 itu bagaimanapun mengalami kelewatan akibat beberapa faktor termasuk pandemik serta kekangan teknikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya semakan teknikal secara menyeluruh dilaksanakan, termasuk audit struktur bangunan, penilaian mendapan tanah, pemeriksaan sistem saliran serta penyediaan pelan tindakan yang jelas sama ada melibatkan kerja pembaikan atau penempatan semula penduduk.
Menurutnya, keutamaan ketika ini ialah memastikan keselamatan penghuni sentiasa terpelihara tanpa menjadikan isu tersebut sebagai medan untuk menyalahkan mana-mana pihak.
Beliau turut memaklumkan bahawa agenda memperkukuh aspek perumahan selamat, infrastruktur asas dan kesejahteraan penduduk dimasukkan sebagai antara tujuh tekad utama yang dibawanya untuk DUN Tanjung Surat.
Dalam masa sama, Faizul menyeru pengundi di DUN Tanjung Surat memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 bagi membolehkannya membawa isu rakyat secara lebih tersusun dan bertanggungjawab.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















