Pengamal radio perlu kuasai AI, Podcast untuk kekal relevan
KUALA LUMPUR – Pengamal industri radio perlu menguasai teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), podcast dan strategi kandungan rentas platform bagi memastikan medium itu terus relevan dalam era digital yang semakin mencabar.
Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) berkata, perkara itu antara fokus utama Kursus Beyond the Mic: Future-Ready Radio in the Digital Age yang berlangsung di Dewan Dinamik, IPPTAR.

“Kursus tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai perkembangan terkini industri radio serta kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan kandungan yang lebih kreatif, inovatif dan berimpak.
“Antara pengisian kursus ialah trend dan transformasi radio digital, penggunaan AI dalam penghasilan kandungan, strategi kandungan rentas platform seperti podcast dan media sosial serta teknik meningkatkan penglibatan audiens,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Program itu dikendalikan oleh penyampai radio terkenal, DJ Nazz dan DJ Fizie yang berkongsi pengalaman serta perkembangan semasa industri radio bersama para peserta.
Menurut IPPTAR, perkongsian tersebut membantu peserta memahami perubahan landskap penyiaran yang kini semakin dipengaruhi teknologi digital dan perubahan corak penggunaan media dalam kalangan masyarakat.
Kursus berkenaan turut memberi penekanan terhadap keperluan pengamal radio untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi serta memanfaatkan platform digital bagi memperluaskan capaian kandungan kepada audiens.
Penganjuran program itu selaras dengan usaha memperkasakan kompetensi pengamal media dan penyiaran agar lebih bersedia menghadapi cabaran serta peluang baharu dalam industri radio digital.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







