TM catat pertumbuhan hasil 6.8 peratus, umum dividen interim 7 sen
KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6.8 peratus kepada RM2.96 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2Q 2026), berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Amar Huzaimi Md Deris berkata, prestasi itu disokong pertumbuhan merentas semua segmen pelanggan selain momentum berterusan dalam perkhidmatan konvergens, penyelesaian digital perusahaan dan infrastruktur digital serantau.
Menurutnya, Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Bukan Kawalan (PATAMI) asas meningkat 4.6 peratus kepada RM406.3 juta pada suku berkenaan.
“PATAMI yang dilaporkan pula berjumlah RM365.5 juta selepas mengambil kira kos berkaitan Prihatin dan pergerakan pertukaran asing,” katanya di sini hari ini.
Bagi separuh pertama 2026 (1H 2026), hasil TM meningkat 4.8 peratus kepada RM5.90 bilion, manakala PATAMI asas meningkat tujuh peratus kepada RM842.6 juta.
Dalam pada itu, Lembaga Pengarah TM mengumumkan dividen interim kedua sebanyak tujuh sen sesaham, menjadikan jumlah dividen bagi 1H 2026 sebanyak 13.5 sen sesaham.
Huzaimi berkata, jumlah itu bersamaan 75 peratus daripada PATAMI dilaporkan dan lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Prestasi berkenaan mencerminkan kemajuan menerusi pelaksanaan strategi PWR 2030 di seluruh Kumpulan.
Menurutnya, TM terus memperkukuh penawaran konvergens Unifi menerusi gabungan jalur lebar, mudah alih dan penyelesaian rumah pintar berasaskan AI, selain memperluas kandungan premium melalui Unifi TV.
“Bagi perusahaan dan Kerajaan, kami terus memperluas penyelesaian digital bernilai tinggi yang dihoskan di dalam negara, termasuk perkhidmatan awan, keselamatan siber, perkhidmatan pintar dan platform AI.
“Pada masa sama, kami memperkukuh infrastruktur ketersambungan serantau dan pusat data bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada syarikat berskala hiper serta menyokong pertumbuhan beban kerja AI,” katanya lagi.
Sementara itu, TM membelanjakan RM555.7 juta bagi perbelanjaan modal (CAPEX) sepanjang 1H 2026, bersamaan 9.4 peratus daripada hasil.
Pelaburan itu tertumpu kepada inisiatif pertumbuhan termasuk pusat data, awan, GPU-sebagai-Perkhidmatan (GPUaaS) dan akses kepada 5G.
TM menjangkakan CAPEX meningkat pada separuh kedua tahun ini berikutan usaha mempercepatkan pelaburan yang telah dirancang, sejajar dengan panduan tahunan.
Bagi segmen perniagaan, hasil B2C (Unifi) meningkat 5.2 peratus kepada RM2.91 bilion, manakala B2B (TM One dan Credence) mencatat pertumbuhan 1.9 peratus kepada RM1.36 bilion.
Segmen C2C (TM Global) pula merekodkan peningkatan hasil sebanyak 6.8 peratus kepada RM1.55 bilion, disokong permintaan terhadap perkhidmatan pusat data, data antarabangsa dan backhaul 5G.
Huzaimi berkata, TM kekal yakin berada pada landasan untuk mencapai panduan kewangan FY2026, selain mengekalkan komitmen terhadap pembayaran dividen yang mampan kepada pemegang saham.
“Kami yakin berada pada landasan yang tepat untuk mencapai panduan FY2026 dan menunaikan komitmen penciptaan nilai, termasuk memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang saham.
“Usaha ini akan terus memperkukuh peranan TM sebagai pengatur ekosistem digital negara dan merealisasikan aspirasi untuk menjadi Digital Powerhouse menjelang 2030,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








