[VIDEO] Malaysia juara Piala Dunia takraw, final dicemari kontroversi Thailand boikot aksi
KUALA LUMPUR – Malaysia muncul juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw TM ISTAF 2026 selepas Thailand enggan meneruskan aksi final yang berlangsung dalam suasana penuh kontroversi di Stadium Titiwangsa, malam tadi.
Skuad negara menamatkan saingan dengan kemenangan 2-1 selepas perlawanan regu ketiga dihentikan susulan bantahan keras pasukan Thailand terhadap keputusan pengadil.
@malaysiatribuneMalaysia muncul juara acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2026 (ISTAF) yang berlangsung di Stadium Titiwangsa malam tadi. Dalam perlawanan itu, kontroversi tercetus apabila Thailand menarik diri di ambang kekalahan dipercayai selepas tidak berpuas hati dengan pengadilan. Kredit video : ISTAF #malaysiatribune #beritasemasa #malaysiatribune #malaysiatribunenews #viralnews #beritaviral #istaf
Regu pertama negara yang dibarisi Zulkifli Abd Razak, Afifuddin Mohd Razali dan Aidil Aiman Azwawi menghadiahkan mata pertama buat Malaysia selepas menewaskan pasangan Thailand 15-9, 13-15, 15-12.
Thailand bagaimanapun bangkit menerusi regu kedua apabila Kritsanapong Nontakote, Tanaphon Sapyen dan Wuttinun Kamsanor menundukkan Haziq Mohd Rosdi, Azlan Alias serta Farhan Adam 15-6, 15-10 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Aksi regu penentuan menyaksikan Malaysia yang dibarisi Zarif Marican Ibrahim Marican, Hafizul Hayazi Adnan dan Amirul Zazwan Amir memenangi set pertama 15-13.
Ketegangan mula tercetus dalam set kedua ketika Thailand mendahului 14-13 sebelum satu mata yang dianggap kemenangan oleh pasukan itu dibatalkan pengadil dari Singapura, Radhi Che Mei selepas mendapati kaki pemain Thailand melepasi garisan bawah jaring ke kawasan Malaysia.
Keputusan tersebut mencetuskan bantahan daripada kem Thailand yang mendakwa berlaku pengadilan berat sebelah sepanjang perlawanan.
Pasukan Thailand kemudian memilih untuk tidak meneruskan aksi walaupun masih berada di gelanggang.
Susulan itu, pegawai pertandingan mengesahkan kemenangan memihak kepada Malaysia sekali gus menobatkan skuad negara sebagai juara dunia acara regu berpasukan.
Pengurus pasukan Malaysia, Datuk Abu Jimi Samat berkata, keputusan pengadil adalah tepat berdasarkan rakaman ulang tayang video.
“Keputusan pengadil betul. Saya sendiri melihat dalam tayangan semula bahawa kaki pemain Thailand memang melepasi garisan,” memetik NST online.
Sementara itu, pengurus pasukan Thailand, Auychai Srisuwan mendakwa pasukannya kerugian beberapa mata penting akibat keputusan pengadilan yang didakwa tidak memihak kepada mereka.
“Kami kehilangan tiga hingga empat mata dalam setiap permainan kerana pengadilan berat sebelah. Sebab itu kami memutuskan untuk tidak meneruskan perlawanan,” katanya lagi.
Walaupun berlaku kontroversi, pasukan Thailand tetap menghadiri majlis penyampaian hadiah selepas tamat perlawanan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








