Lapan rayuan, satu keputusan: Mengapa penghakiman CAS ambil masa?
KUALA LUMPUR – Keputusan kes rayuan membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan di Mahkamah Timbang Tara Sukan dijangka mengambil sedikit masa berikutan skala prosiding yang besar.
Peguam sukan, Hairul Vaiyron Othman berkata, kes berkenaan melibatkan lapan rayuan berasingan yang didengar dalam satu prosiding di Court of Arbitration for Sport (CAS) di Lausanne, Switzerland.
Menurutnya, kebiasaannya satu kes sahaja boleh mengambil masa kira-kira sebulan untuk diputuskan walaupun semua dokumen dikemukakan dengan lengkap.
“Bayangkan dalam situasi ini, terdapat lapan kes yang perlu diteliti dan diputuskan dalam satu pendengaran. Sudah tentu ia memerlukan masa,” memetik NST online.
Tujuh pemain terbabit Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel sebelum ini dikenakan penggantungan 12 bulan oleh FIFA bermula September tahun lalu atas kesalahan pemalsuan dokumen berkaitan kelayakan mewakili skuad kebangsaan.
Selain itu, Football Association of Malaysia (FAM) turut didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta) dan telah mengemukakan rayuan kepada CAS.
Panel CAS yang mula mendengar kes tersebut pada Khamis lalu memaklumkan keputusan dijangka diumumkan minggu hadapan.
Kes itu dilihat penting kerana keputusan akhir yang mengikat itu bakal memberi implikasi besar terhadap hala tuju bola sepak negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








