BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAANMALAYSIA MADANI

MPSepang perkenal dashboard RT Digital pertama di Malaysia

SEPANG – Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) melakar sejarah sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Malaysia memperkenalkan Dashboard Rancangan Tempatan (RT) secara digital.

Inisiatif itu dilaksanakan oleh PLANMalaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai langkah mempertingkat ketelusan serta kefahaman awam terhadap perancangan bandar.

Majlis pelancaran dashboard digital disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sempena Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RT Sepang 2035 (Penggantian) yang berlangsung di Semarak Hall, Cyberjaya, semalam.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKT merangkap Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu, yang juga antara penggerak utama dalam menjayakan pendekatan digital berkenaan.

Menurut Aiman Athirah, platform itu memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung dalam proses perancangan pembangunan.

“Platform ini membolehkan orang ramai melihat sendiri pelan pembangunan yang dirancang dan memberikan maklum balas secara terbuka,” katanya.

Draf RT Sepang 2035 turut diterbitkan dalam bentuk fizikal, namun inovasi dashboard digital memberikan capaian data secara lebih menyeluruh dan mudah diakses oleh rakyat.

“Pelaksanaan sistem digital itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam memperkasa KLIA Aeropolis sebagai pusat MRO (Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih) utama di Asia Tenggara.

“Projek ini menyokong pembangunan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), termasuk KLIA Aeropolis, Selangor Aeropark dan kawasan strategik lain,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa keterbukaan data melalui dashboard tersebut sejajar dengan aspirasi menjadikan Sepang sebagai Gerbang Teknologi Strategik dalam Komuniti Lestari.

Antara yang turut hadir ialah Ketua Pengarah PLANMalaysia, Datuk Dr. Alias Rameli; Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim; Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor merangkap ADN Tanjong Sepat, Datuk Borhan Aman Shah dan Pengarah PLANMalaysia Selangor, TPr Khairulzaman Ibrahim.

Turut serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Muhamad Shah Osmin, serta Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Tengku Datuk Dr. Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button