BERITA SEMASA

Malaysia, Indonesia terajui Majlis Halal ASEAN: perkukuh ekosistem halal serantau

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk bersama-sama menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN, satu langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem halal serantau dan meningkatkan kerjasama antara negara-negara Asia Tenggara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai menerusi pertemuan strategik bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Bapak Haikal Hassan Baras, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara, hari ini.

“Pertemuan ini merupakan kesinambungan daripada lawatan rasmi saya ke Indonesia sebelum ini, yang menjadi titik tolak kepada usaha mempererat hubungan dua hala dalam pembangunan industri halal,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) Malaysia berkata, Majlis Halal ASEAN bakal menjadi platform strategik untuk menyelaras dasar, piawaian dan standard halal dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Inisiatif ini akan memastikan ASEAN tampil sebagai peneraju dalam ekosistem halal global dengan pengiktirafan piawaian bertaraf dunia,” katanya lagi.

Selain itu, kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperluas pengiktirafan bersama sijil halal dan membuka laluan kemasukan produk halal antara satu sama lain, sekali gus mempermudah urusan perdagangan dan meningkatkan pertumbuhan pasaran halal serantau.

“Langkah ini dijangka memberi impak positif terhadap perdagangan intra-ASEAN dan memenuhi permintaan pasaran yang merangkumi lebih 700 juta penduduk,” katanya lagi.

Zahid turut berkata, komitmen Malaysia dalam mempergiatkan usaha kerjasama melibatkan pensijilan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan tenaga kerja dalam industri halal.

“Malaysia juga menyokong penuh program pertukaran kepakaran, latihan bersama dan penyelidikan kolaboratif bagi memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN,” katanya lagi.

Menurutnya, dengan nilai pasaran halal global dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030, ASEAN perlu memainkan peranan sebagai blok yang saling melengkapi dan berdaya saing dalam arena halal dunia.

“Penubuhan Majlis Halal ASEAN ini akan memastikan rantau kita bukan sahaja menjadi hab halal global yang inklusif dan mampan, malah menjadi contoh kepimpinan industri halal dengan integriti dan piawaian tinggi,” katanya lagi.

Kerjasama itu turut disifatkan sebagai bukti kejayaan pendekatan “Halal Diplomacy” yang diketengahkan Malaysia dalam memperkukuh jenama halal negara di peringkat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button