Malaysia, Timor-Leste meterai MoU pembangunan luar bandar
KUALA LUMPUR – Malaysia dan Timor-Leste menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan luar bandar, hari ini.
Kerajaan Malaysia diwakili Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, manakala Kerajaan Timor-Leste diwakili Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Kerjasama, Dr Bendito dos Santos Freitas.
Menurut Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), MoU itu merupakan perjanjian pertama seumpamanya ditandatangani di peringkat antarabangsa oleh kementerian berkenaan dan mencerminkan kesungguhan Malaysia untuk memperkukuh kerjasama global dalam pembangunan luar bandar.
Ahmad Zahid berkata, pemeteraian MoU itu adalah hasil daripada Lawatan Rasmi beliau ke Timor-Leste pada Ogos tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala.
“Kerajaan Timor-Leste mengiktiraf kejayaan Malaysia dalam melaksanakan program pembangunan luar bandar yang komprehensif dan berimpak tinggi.
“Melalui MoU ini, kedua-dua negara berhasrat mewujudkan kesan sinergi yang mampu meningkatkan keberkesanan inisiatif pembangunan luar bandar ke arah masyarakat yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan,” katanya di sini hari ini.
MoU berkenaan turut dianggap sebagai simbolik kepada keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN yang disahkan pada 26 Oktober lalu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Kerjasama tersebut akan melibatkan beberapa bidang utama termasuk pembangunan modal insan, transformasi digital, pertumbuhan ekonomi serta pertukaran ilmu yang dijangka memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat luar bandar di kedua-dua negara.
KKDW menjelaskan, inisiatif itu menjadi satu titik tolak penting dalam mewujudkan model pembangunan luar bandar yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing di rantau ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








