
Pavilion Malaysia di Ekspo Osaka simbol masa depan dan kerjasama global
OSAKA – Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka 2025 yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, dilihat sebagai simbol harapan terhadap masa depan teknologi dan semangat perpaduan antarabangsa.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, penyertaan Malaysia kali ini membawa mesej jelas tentang kepentingan menghargai kewujudan negara lain serta membayangkan masa depan yang lebih mampan dan bersatu.

“Ekspo Dunia merupakan medan untuk membina harapan. Ia adalah perayaan masa depan dan keterangkuman. Dalam tulisan kanji Jepun, ‘banpaku’ bermaksud ‘ekspo sepuluh ribu negara’ melambangkan semangat sejagat yang kita perlu pelihara,” katanya dalam satu hantaran laman Facebook hari ini.
Menurut beliau, dalam konteks ketegangan geopolitik global dan kebangkitan populisme kanan yang menolak keterbukaan, semangat Ekspo Dunia menjadi lebih relevan dari sebelumnya.

“Pavilion Malaysia, yang mengetengahkan seni bina berasaskan buluh, mempersembahkan kekayaan warisan negara serta komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan inovasi teknologi,” katanya lagi.
Liew turut menyeru rakyat Malaysia yang berada di Jepun atau bakal berkunjung agar meluangkan masa ke Ekspo Osaka 2025 dan mengunjungi Pavilion Malaysia.
Turut hadir dalam majlis perasmian itu ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Rizam Ismail dan Timbalan Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hanafi Sakri.
Ekspo Osaka 2025 dijangka menjadi platform penting untuk negara-negara mempamerkan kemajuan serta menjalin kerjasama menuju masa depan yang lebih sejahtera.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








