BERITA SEMASA

Kakak tak sampai hati beritahu dua anak saudara ibu mati dibunuh bapa

TUMPAT – “Mereka minta bercakap dengan ibu, tetapi saya beri alasan ibu sibuk bekerja.”

Itu luahan pilu Marliza Ibrahim, 48, yang tidak sampai hati memaklumkan kepada dua anak saudaranya bahawa ibu mereka, Norhazwani Ibrahim, 35, meninggal dunia selepas dipercayai dibunuh suami di kediaman mereka di Kompleks Perumahan Awam dekat Nilai, Negeri Sembilan, malam tadi.

Marliza berkata, dia bercadang memberitahu berita duka itu kepada dua beradik berusia enam dan lima tahun berkenaan sebelum jenazah ibu mereka dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor, di sini esok.

Menurutnya, kedua-dua anak saudaranya yang dijaga sejak kecil itu sudah terbiasa menghubungi ibu mereka menerusi panggilan video setiap pagi sebelum ke sekolah.

“Semalam, mereka ada meminta untuk bercakap dengan arwah, tetapi saya tidak melayan permintaan dua beradik itu dengan memberi alasan bahawa ibu sedang sibuk bekerja.

“Kali terakhir mereka berdua bertemu mata dengan arwah pada Isnin lalu ketika Norhazwani pulang ke kampung selama seminggu bermula 5 Oktober untuk menguruskan perbicaraan kes perceraian dengan suaminya,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Banjir, Telaga Bata, Pengkalan Kubor, di sini hari ini.

Marliza berkata, dia terkejut apabila menerima berita mengenai kematian adik bongsunya daripada sembilan beradik itu yang dipercayai dibunuh selepas tiga hari pulang ke tempat kerjanya.

Norhazwani yang bertugas di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dilaporkan dipercayai dibunuh suaminya yang berusia lingkungan 30-an kira-kira pukul 7.30 malam tadi.

Lelaki berkenaan kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, Selangor, kira-kira 30 minit selepas kejadian.

Menurut Marliza, arwah pernah meluahkan harapan agar urusan perceraiannya dengan suami dapat diselesaikan secepat mungkin.

“Allahyarham Norhazwani membuat tuntutan fasakh terhadap suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan tetap di Mahkamah Syariah Tumpat dan perbicaraan kes tersebut sudah dua kali berjalan.

“Arwah tidak pernah menceritakan masalah rumah tangganya. Saya hanya tahu apabila dia memaklumkan bahawa akan bercerai dengan suaminya,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Marliza berkata, dia akan terus menjaga kedua-dua anak arwah kerana mereka sangat rapat dengannya.

Katanya, dia mula menjaga anak saudara bongsunya itu selepas arwah selesai menjalani tempoh berpantang, manakala kakaknya dijaga sejak berusia dua tahun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button