JENAYAH & MAHKAMAH

Anak mangsa kebakaran rumah flat sedih, namun reda dengan takdir

KUALA LUMPUR – “Saya sedih namun reda dengan semua yang berlaku.”

Demikian luahan salah seorang ahli keluarga dua beranak yang ditemukan meninggal dunia dalam kebakaran sebuah rumah di Flat Sentul Utama, Jalan Dato’ Senu, di sini pagi tadi.

Anak kedua mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zul, 60-an mengakui, dia masih terkejut dan sedih dengan kejadian tersebut.

Menurut Zul, dia sempat bertemu ibunya, Jamilah, 83, yang tinggal bersama adik lelaki bongsunya, Zuzaini, 58, baru-baru ini.

“Saya dimaklumkan mengenai kejadian menimpa mak dan adik pada pukul 7 pagi tadi dan terkejut mendengar perkara itu. Saya sedih namun reda dengan semua yang berlaku.

“Proses bedah siasat dilakukan pada 3 petang tadi dan Insya-Allah, pengebumian pagi esok,” katanya memetik laporan Kosmo! Online ketika ditemui di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di sini, hari ini.

Tambahnya, sebelum ini dia dan adik-beradik lain akan menjaga ibu mereka secara bergilir-gilir sama ada dibawa ke rumah masing-masing atau di rumah wanita itu.

“Baru-baru ini mak duduk dengan saya selepas keluar dari hospital dan apabila keadaannya sudah baik serta boleh berjalan, dia mahu pulang ke rumahnya sendiri,” katanya.

Kebakaran Sentul
Anggota bomba memeriksa sebuah rumah yang terbakar dan mengorbankan dua beranak yang ditemukan rentung di dalam tandas kediaman tersebut.

Sementara itu, mengenai dakwaan adiknya dikatakan membakar barang dalam rumah sebelum ini, Zul berkata, dia tidak mengetahui perkara terbabit dan sepanjang pengetahuannya adiknya itu tidak pernah melakukan perbuatan berkenaan.

Katanya, dia mengucapkan terima kasih kepada jiran di rumah ibunya yang cuba membantu ketika kejadian berlaku.

Terdahulu media melaporkan, dua beranak maut dalam kebakaran di Sentul pagi tadi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, jasad wanita warga emas dan anak lelakinya ditemukan di dalam tandas rumah berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button