Jerebu: Semua sekolah di Negeri Sembilan ditutup esok
SEREMBAN – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di Negeri Sembilan diarahkan tutup mulai esok susulan keadaan jerebu teruk yang melanda negeri ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) berkata, keputusan berkenaan dibuat selaras dengan kenyataan media KPM hari ini selepas mengambil kira bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di tiga stesen pemantauan di negeri itu.
Tiga stesen berkenaan adalah di Port Dickson, Seremban dan Nilai dengan bacaan IPU direkodkan sehingga pukul 5 petang tadi.
Menurut JPNS, keputusan itu turut mengambil kira aspek keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika ini.
“Institusi pendidikan yang terjejas hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
“Pelaksanaannya mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan melaksanakan tugas dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan berkenaan.
JPNS berkata, pihaknya bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.
“JPNS akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan perkembangan dan ketetapan yang ditetapkan oleh KPM.
“JPNS turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta memberikan kerjasama bagi memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak sepanjang tempoh keadaan jerebu ini,” katanya.
JPNS turut menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung aspek keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu.
JPNS menegaskan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








