BERITA SEMASA

KPM yakin ibu bapa mampu nilai situasi jerebu, pastikan pembelajaran tidak terjejas

MELAKA – Kementerian Pendidikan (KPM) yakin ibu bapa mampu membuat pertimbangan sewajarnya susulan keadaan jerebu ketika ini bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesan pencemaran udara dan memberikan kelonggaran sekiranya terdapat keperluan untuk tidak menghantar anak ke sekolah.

“Keputusan itu, bagaimanapun perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab serta berpaksikan kepentingan dan keperluan anak-anak.

“Kita percaya ibu bapa boleh membuat keputusan dengan kesedaran tinggi dan berpaksikan kepada kepentingan serta keperluan anak masing-masing,” katanya selepas melakukan tinjauan pelaksanaan projek Bilik Darjah Tambahan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Merdeka, di sini hari ini.

Beliau berkata, kelonggaran itu diberikan selepas KPM mengambil kira kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini.

Beliau menambah, garis panduan KPM berkaitan pengurusan sekolah ketika pencemaran udara kekal menjadi rujukan utama.

“Bagaimanapun, tidak bermaksud kita tidak mempunyai garis panduan yang jelas. Hala tuju kita jelas, sekiranya IPU melebihi 100, semua aktiviti luar dihentikan.

“Sekiranya IPU melebihi 200, sekolah akan ditutup dan PdPR akan dilaksanakan bagi sekolah yang terbabit,” katanya lagi

Laporan media semalam menyebut, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek memaklumkan KPM memberikan kelonggaran kepada ibu bapa untuk membuat pertimbangan sama ada menghantar anak ke sekolah atau sebaliknya sekiranya bimbang terhadap kesihatan anak susulan keadaan jerebu ketika ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button