As-Sofa sasar bina kampus tetap RM15 juta di Rembau dalam tempoh dua tahun
KUALA LUMPUR – Selepas 14 tahun beroperasi di bangunan sewaan, Kolej Islam As-Sofa akhirnya memulakan langkah membina kampus tetap di Rembau menerusi projek pembangunan bernilai RM15 juta.
Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa, Dr Muhd Sufi Ibrahim berkata, pembinaan kampus berkeluasan 35,000 kaki persegi itu mampu menampung sekurang-kurangnya 1,000 pelajar.
Beliau berkata, setakat ini, reka bentuk serta pelan arkitek kampus berkenaan telah siap dan sasaran pembinaan adalah dalam tempoh dua tahun, bergantung kepada kutipan dana yang berjaya diperoleh.
“Dana yang dikumpul ini akan digunakan untuk kerja-kerja asas pembangunan. Setakat ini, kira-kira RM150,000 berjaya dikumpulkan dan jumlah tersebut akan menjadi permulaan kepada keseluruhan projek,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis makan malam amal dan apresiasi akademik As-Sofa serta pelancaran kampus tetap kolej islam itu di ibu negara malam tadi.

Baca juga : As Sofa anjur Makan Malam Amal, lancar pembangunan kompleks pendidikan
Mengulas lanjut, Dr Sufi berkata, hasrat membina kampus tetap itu adalah penting memandangkan As-Sofa telah beroperasi selama 14 tahun dengan menyewa bangunan, selain menjadi keperluan utama untuk memenuhi syarat menaik taraf kolej kepada Kolej Universiti.
Tambah beliau, antara syarat utama adalah keupayaan menampung minimum 1,000 pelajar, mempunyai program-program yang diakreditasi serta memastikan sekurang-kurangnya 60 peratus tenaga pengajar memiliki kelayakan Doktor Falsafah (PhD).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan As-Sofa, Dr Mohd Amirul Isma bin Md. Yusof berkata, majlis makan malam As-Sofa dianjurkan bukan sahaja bagi mengumpul dana pembangunan kampus, malah turut meraikan graduan peringkat sarjana dan PhD serta meraikan pencapaian As-Sofa sejak penubuhannya pada 2005.
Menurutnya, As-Sofa berpegang kepada tiga teras utama pendidikan iaitu akademik, tahfiz dan diniyah, selain mengekalkan identiti sebagai institusi pendidikan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang tulen.
“Kolej Islam As-Sofa juga berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), sekali gus memastikan silibus pendidikan yang ditawarkan menepati standard dan terjamin,” katanya.
Dr Sufi menjelaskan, keseluruhan operasi dan pembangunan As-Sofa dilaksanakan tanpa sebarang dana kerajaan, sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada sokongan masyarakat, alumni dan para penderma.
“Kami mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak bagi merealisasikan pembinaan kampus tetap ini dan memastikan kelangsungan pendidikan Islam yang berkualiti untuk generasi akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








