BERITA SEMASA

Jerebu: KPM seimbang keselamatan murid, kelangsungan pembelajaran – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengutamakan keselamatan dan kesihatan murid susulan situasi jerebu semasa, tanpa mengabaikan kelangsungan pembelajaran sekiranya penutupan sekolah perlu dilaksanakan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tengah hari tadi.

Beliau berkata, keputusan berkaitan operasi sekolah perlu mengambil kira keseimbangan antara perlindungan kesihatan murid dengan usaha memastikan mereka tidak kehilangan masa pembelajaran akibat penutupan sekolah yang berpanjangan.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak terus terpelihara.

“Pada masa yang sama, kita tidak mahu mereka kehilangan masa pembelajaran akibat penutupan sekolah yang berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Menurutnya, NADMA dijangka mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat bagi memperjelas penyelarasan tindakan serta prosedur pengurusan jerebu selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Fadhlina berkata, pengurusan jerebu memerlukan tanggungjawab bersama semua pihak, dengan setiap agensi memainkan peranan masing-masing, selain kerjasama ibu bapa dan masyarakat.

“Kita mahu keputusan yang dibuat mengambil kira kesihatan dan kelangsungan pendidikan anak-anak secara seimbang,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button