BERITA SEMASA

Anggota tentera maut tercampak dari jejambat, timpa penunggang motosikal

KUALA LUMPUR – Seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) maut selepas tercampak dari jejambat setinggi kira-kira lima meter sebelum menimpa seorang penunggang motosikal di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS), pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukukl 8 pagi, ketika anggota berusia 24 tahun berkenaan dalam perjalanan dari rumahnya di Bukit Jalil menuju ke tempat kerja di Kem Sungai Besi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal jenis Honda Wave di susur jejambat berhampiran TBS untuk membuat pusingan U.

Beliau berkata, kejadian menyebabkan mangsa tercampak ke jalan raya di bawah, manakala motosikal ditunggangnya kekal di atas jejambat.

“Mangsa yang tercampak telah menimpa seorang lelaki berusia 46 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda Vario dari arah Cheras menghala ke Sungai Besi, menyebabkan kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.

“Pada masa sama, sebuah lori dipandu lelaki berusia 46 tahun cuba mengelak kedua-dua mangsa, namun tidak sempat lalu melanggar motosikal Honda Vario terbabit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Zamzuri berkata, anggota tentera itu mengalami kecederaan parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Penunggang Honda Vario pula mengalami patah tangan kiri, kecederaan di muka serta pendarahan di kepala sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat, diminta tampil menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button