BERITA SEMASA

Kanak-kanak 4 tahun parah dilanggar MPV JBPM

Masih terlantar di ICU sejak dua minggu lalu

KOTA BHARU – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dilaporkan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, sejak dua minggu lalu selepas dikatakan dilanggar kenderaan serba guna (MPV) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Difahamkan, kejadian berlaku 3 Januari lalu, sekitar pukul 10.45 pagi ketika kanak-kanak itu menyertai program Hari Keluarga JBPM di sebuah resort di Bachok, lapor HM Online.

Menurut ibu mangsa, Nurul Afzan Che Ramlee, 33, anak bongsu daripada tiga adik beradik itu masih memerlukan bantuan pernafasan selepas menjalani tiga pembedahan kecil pada bahagian dada dan menunjukkan perkembangan positif walaupun masih kritikal.

Dia yang juga anggota JBPM di Pahang berkata ketika kejadian, anaknya sedang bermain di kawasan padang, tempat berlangsungnya acara sukan rakyat sebelum dilanggar MPV jabatan yang sedang mengundur dan dipandu anggota bomba.

Akibat kejadian, anaknya mengalami kecederaan parah pada bahagian abdomen selain patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk.

“Anak saya kemudian dibawa menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke Hospital Bachok untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke HUSM memandangkan keadaannya yang kritikal.

[hdsoft_ai_summary]

[hdsoft_ai_summary post_id="95576"]

“Pada waktu kejadian juga beberapa kanak-kanak lain bermain di tempat yang sama kerana kawasan berkenaan bukan di atas jalan yang berbahaya sebaliknya tapak sukaneka yang selamat.

“Sejujurnya, saya terkilan dengan apa yang terjadi dan mengharapkan tindakan setimpal diambil terhadap anggota yang terbabit kerana laporan polis juga sudah dibuat demi keadilan buat anak saya,” katanya, hari ini.

Menurut Nurul Afzan, dia dimaklumkan bahawa siasatan dalaman pihak JBPM sedang dilaksanakan dan berharap supaya siasatan telus dilakukan pihak berkaitan.

Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, memaklumkan pihaknya menerima tiga laporan polis berkaitan kes berkenaan.

Katanya siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kita juga sudah merakam keterangan daripada pemandu kenderaan terbabit dan untuk kes ini kita akan menjalankan siasatan secara telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button