BERITA SEMASA

Sultan Nazrin zahir dukacita budaya debat tanpa adab semakin menular

PUTRAJAYA – Budaya perbincangan dan perdebatan yang semakin berbentuk pertelagahan tanpa adab terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini semakin menular dan membimbangkan.

Situasi itu menyebabkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan rasa dukacita dalam apa yang disifatkan sebagai petanda krisis adab termasuk apabila berita yang belum disahkan disebarkan tanpa menghiraukan dosa.

Baginda yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) bertitah, keadaan itu tidak boleh dipandang ringan kerana keruntuhan sesebuah masyarakat sering bermula dengan keruntuhan nilai dan akhlaknya.

“Sangat mendukacitakan, malah bertambah mengaibkan, ketika ini kita menyaksikan perbincangan dan perdebatan, yang lebih berbentuk pertelagahan tanpa adab, sedang dan semakin berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu dan umat Islam di negara ini.

“Berita yang belum disahihkan, disebarkan tanpa menghiraukan dosa, aib dibuka dan perbezaan pandangan bertukar menjadi permusuhan,” titah baginda pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) Ke-75, di sini hari ini.

Sehubungan itu, Sultan Nazrin bertitah, masyarakat perlu dididik untuk membudayakan sikap mendengar sebelum menjawab, memahami sebelum menghukum dan meneliti sebelum menyebarkan sesuatu.

Baginda bertitah, bangsa Melayu dan umat Islam perlu menghidupkan kembali adab ketika berkomunikasi dan mengurus perbezaan pendapat.

“Kita boleh tidak bersetuju tanpa perlu menghina. Kita boleh menegur tanpa mengaibkan. Kita boleh mempertahankan kebenaran tanpa kehilangan kebijaksanaan dan rasa belas ihsan,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut menekankan keperluan memperkukuh budaya syura dan adab dalam keluarga, institusi pendidikan, organisasi, masjid, pentadbiran serta seluruh masyarakat.

Menurut baginda, keberanian bukan sekadar keberanian untuk bersuara, sebaliknya turut merangkumi kesediaan mendengar, mengakui kesilapan dan menerima kebenaran walaupun ia datang daripada pihak yang mempunyai pandangan berbeza.

“Syura yang disertai adab akan melahirkan keputusan bijaksana, kepimpinan yang adil dan masyarakat yang matang.

“Sebuah masyarakat tidak menjadi kuat kerana semua anggotanya mempunyai pandangan yang sama, tetapi sesebuah masyarakat menjadi kuat kerana berdaya dan berhikmah mengurus perbezaan dengan ilmu, kesabaran dan rasa hormat,” titah baginda.

Baginda turut berharap MKI menjadi contoh sebuah badan yang menghidupkan syura sebagai budaya dan menjadikan adab sebagai keperibadian dengan mendengar menggunakan hati, berbicara dengan hikmah serta kekal bersaudara meskipun berbeza pendapat.

“Sesungguhnya syura menyatukan pandangan dan adab menyatukan hati. Jika kita mahu ummah dihormati, suburkan ilmu dalam perbincangan.

“Jika kita mahu masyarakat bersatu, jagalah adab dalam perbezaan. Jika kita mahu kepimpinan diberkati, letakkan kebenaran mengatasi ego dan kepentingan diri,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi insan yang hanya mahu didengar tetapi tidak mahu mendengar, mudah menghukum tetapi enggan memahami atau berbicara mengenai perpaduan sedangkan kata-kata sendiri menyemarakkan perpecahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button