Rakyat tidak wajar jadi mangsa sengketa politik – Sultan Nazrin
KUALA KANGSAR – Rakyat tidak seharusnya dijadikan mangsa kepada persengketaan politik yang tiada kesudahan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, sikap negatif sedemikian hanya akan merosakkan keharmonian antara manusia serta menggugat keseimbangan hubungan kaum dan agama di negara ini.
Menurut baginda, tenaga dan sumber kekayaan negara seharusnya digunakan untuk kerja-kerja yang lebih produktif demi kemakmuran rakyat dan kemajuan negara.
“Allah mengurniakan manusia akal untuk berfikir. Berfikirlah secara bijak. Manusia yang bijaksana akan mentafsirkan ciptaan Ilahi yang pelbagai sebagai aset berharga.
“Kepelbagaian kaum, agama, budaya dan bahasa hendaklah diterima sebagai rahmat dan kekayaan kurniaan Ilahi.
“Amat malang bagi tamadun sesuatu bangsa jika kelainan dan perbezaan dilihat dari sudut negatif yang sarat dengan prasangka,” titah baginda lagi.
Sultan Nazrin bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Hari Keputeraan baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, hari ini.
Baginda menegaskan, semangat permuafakatan yang menjadi asas kepada pembentukan negara merdeka perlu terus dipelihara dan dihormati oleh semua pihak.
“Sebarang suara, tuntutan dan perbuatan yang bercanggah dengan semangat muafakat hendaklah ditentang demi memastikan kelangsungan kedaulatan negara yang aman, harmoni dan makmur,” titah baginda lagi.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan terhadap kebijaksanaan pemimpin terdahulu yang berjaya menyatukan kepelbagaian bangsa dan agama sehingga lahirnya Malaysia yang merdeka dan berdaulat.
“Bumi yang kita pijak ini memiliki segala perbezaan dari segi agama, kaum, budaya dan bahasa yang boleh dijadikan pementasan persengketaan.
“Namun, melalui kebijaksanaan pemimpin terdahulu, segala perbezaan ini berjaya disatukan hingga terbentuknya Malaysia yang aman dan makmur,” titah baginda lagi.
Baginda turut mengingatkan bahawa masih banyak usaha perlu dilaksanakan untuk membela nasib rakyat, khususnya golongan miskin dan daif.
“Ayat ke-13 Surah al-Hujurat bermula dengan seruan ‘wahai umat manusia’. Seruan ini ditujukan kepada seluruh umat manusia, Islam dan bukan Islam, agar saling berkenalan dan beramah mesra, bukan bersengketa dan bermusuhan,” titah baginda lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








