Feri karam di Bali: Seorang rakyat Malaysia disahkan terkorban
BANYUWANGI – Seorang rakyat Malaysia disahkan antara mangsa yang terkorban dalam tragedi kapal karam KMP Tunu Pratama Jaya di perairan Selat Bali, Indonesia dalam kejadian pada 2 Julai lalu.
Ketua Subdit Dokpol Polda Jawa Timur, AKBP Adam Bimantoro yang dipetik media tempatan ANTARA News berkata, mangsa dikenal pasti oleh Pasukan Identifikasi Mangsa Bencana (DVI) Polis Daerah Jawa Timur sebagai Fauzey Awang, 58, menerusi padanan data perubatan serta barangan milik peribadi seperti dompet dan kad pengenalan diri.
Mangsa lain yang dikenal pasti ialah Noval Hardiansyah, 15, warga tempatan dari Desa/Kecamatan Singojuruh, Kabupaten Banyuwangi.
“Pengesahan identiti dilakukan melalui pemeriksaan perubatan dan barang milik mangsa,” katanya dalam sidang media di Hospital RSUD Blambangan, Banyuwangi, pada malam tadi.
Turut dikenal pasti, Sofyan Wibowo, 18, dari Kecamatan Susukan, Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah, juga melalui pemeriksaan gigi serta barangan milik peribadi.
“Satu lagi jenazah masih belum dikenal pasti. Ia merupakan wanita yang ditemui memakai seluar pendek jeans berwarna biru di Pantai Plengkung, kawasan Taman Nasional Alas Purwo, Kecamatan Tegaldlimo, Banyuwangi pada Khamis (10 Julai),” jelasnya.
Berdasarkan data daripada Posko Operasi SAR dan Pasukan SAR Gabungan di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, sehingga malam Khamis, iaitu hari kesembilan operasi pencarian, seramai 15 mangsa disahkan meninggal dunia (termasuk satu dalam proses identifikasi).
Sebelum ini, 30 orang ditemui selamat, manakala 20 orang lagi masih hilang dan usaha pencarian masih diteruskan.
KMP Tunu Pratama Jaya yang membawa 53 penumpang, 12 anak kapal serta 22 unit kenderaan dilaporkan karam di perairan Selat Bali pada Rabu, 2 Julai lalu.- ANTARA News
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








