BERITA SEMASALUAR NEGARA

UNGA ke-80: Tidak boleh bergantung kepada PBB demi ASEAN – Mohamad Hasan

NEW YORK – Malaysia menegaskan ASEAN tidak boleh bergantung kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelesaikan konflik serantau, sebaliknya perlu mengambil langkah sendiri demi mengekalkan kestabilan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ASEAN terbukti mampu memainkan peranan apabila berjaya mempertemukan pihak bertelagah, mencapai persetujuan gencatan senjata dan kini memantau pelaksanaannya di lapangan.

“Apabila konflik hampir memuncak antara jiran kita, ASEAN tidak berpeluk tubuh. Kita bertindak segera, mempertemukan kedua-dua pihak di Malaysia dan melaksanakan gencatan senjata,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-80, di sini.

Kenyataan itu dilihat sebagai teguran tersirat terhadap kelembapan PBB menangani krisis global, selain mengangkat pendekatan proaktif ASEAN sebagai model penyelesaian konflik.

Dalam ucapannya, Mohamad turut menegaskan Laut China Selatan tidak boleh dijadikan gelanggang perebutan kuasa besar, sambil menggesa semua pihak mematuhi sepenuhnya Konvensyen Undang-Undang Laut PBB (UNCLOS) dan mengelakkan tindakan provokatif.

Beliau menambah, sistem ekonomi global juga wajar melalui pembaharuan menyeluruh kerana negara-negara Selatan Global masih berdepan jurang struktur yang mengekang pembangunan.

“Ironinya pahit, kita majoriti penduduk dunia tetapi kurang diwakili dalam pembuatan keputusan, kekurangan pembiayaan pembangunan dan diketepikan dalam tadbir urus global. Ketidakseimbangan ini mesti diperbetulkan,” katanya.

Mohamad menegaskan suara, keperluan dan aspirasi negara-negara membangun mesti menjadi tumpuan utama keputusan antarabangsa.

“Kita tidak akan dapat membina sistem antarabangsa yang adil tanpa Selatan Global di pusatnya,” tegas beliau sambil menegaskan Malaysia akan terus memperjuangkan maruah, kesaksamaan dan peluang untuk semua negara membangun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button