BERITA SEMASA

Agong, Putin adakan perbincangan pada 6 Ogos

MOSCOW – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Russia, Vladimir Putin pada 6 Ogos ini sempena Lawatan Negara baginda ke negara itu.

Menurut perkhidmatan berita TASS, pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada pengukuhan hubungan Russia-Malaysia serta membincangkan perkembangan semasa serantau dan antarabangsa.

“Perbincangan antara Presiden Russia, Vladimir Putin dan Sultan Ibrahim dijadual berlangsung pada 6 Ogos di Moscow.

“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan usaha memperkukuh hubungan Russia-Malaysia serta isu semasa serantau dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Terdahulu, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim akan mengadakan lawatan negara ke Russia dari 5 hingga 10 Ogos atas jemputan Putin.

Seri Paduka Baginda akan disambut Presiden Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti perbincangan rasmi dengan Presiden Russia dan menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan pemimpin berkenaan.

Istana Negara turut menyatakan bahawa lawatan itu mencerminkan peranan penting institusi Diraja dalam memperkasa diplomasi negara, sekali gus membuka ruang kerjasama baharu dalam bidang perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi, inovasi dan hubungan antara rakyat.

Memandangkan Malaysia mempengerusikan ASEAN pada 2025, lawatan ini juga dijangka memperkukuh kerjasama strategik dengan Russia yang merupakan Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.

Putin menyampaikan jemputan kepada Sultan Ibrahim semasa pertemuan beliau dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kremlin pada 14 Mei lepas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button