BERITA SEMASA

Lima warga USIM sertai program mobiliti akademik di Russia

NILAI – Seramai lima warga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpilih menyertai dua program mobiliti akademik antarabangsa di Russia bulan ini sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperkukuh agenda pengantarabangsaan serta memperluas jaringan kerjasama akademik di peringkat global.

Dalam satu kenyataan hari ini, USIM memaklumkan tiga pelajar akan mengikuti program Russian Summer University 2026 di Kazan Federal University dari 6 hingga 19 Julai, manakala dua ahli akademik akan menyertai Summer Institute for Young Lecturers and Researchers 2026 di Saint Petersburg Electrotechnical University dan Industrial University of Tyumen dari 20 Julai hingga 2 Ogos.

Tiga pelajar yang terpilih ialah Nurul Farmin Mohd Nor Azman dan Raudhatul Afiah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat serta Nur Sabihah Hishamudin dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.

Dua ahli akademik yang mewakili universiti pula ialah Dr Nur Sabrina Suhaimi dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina yang akan mengikuti program di Saint Petersburg Electrotechnical University serta Dr Nurul Hana Mas’od dari Fakulti Sains dan Teknologi yang akan menyertai program di Industrial University of Tyumen.

Pengarah USIM ‘Alamiyyah, Profesor Madya Dr Sofia Hayati Yusoff berkata, penyertaan itu mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkukuh agenda pengantarabangsaan serta melahirkan graduan dan ahli akademik yang berdaya saing di peringkat global.

Related Articles

“Program mobiliti antarabangsa seperti ini merupakan manifestasi komitmen USIM dalam melahirkan graduan dan ahli akademik yang mempunyai kompetensi global, kepekaan rentas budaya serta kemampuan memimpin dalam landskap pendidikan tinggi antarabangsa yang semakin dinamik.

“Penyertaan warga USIM di Russia turut menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan akademik global, penerokaan penyelidikan berimpak tinggi dan pembangunan modal insan yang mampu membawa aspirasi Integrasi Ilmu ke pentas dunia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button