BERITA SEMASALUAR NEGARA

AS bekal senjata ke Ukraine, ancam tarif tinggi terhadap Russia

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan rancangan membekalkan bantuan ketenteraan berskala besar kepada Ukraine menerusi saluran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh pertahanan Kyiv.

Menurut Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte, penghantaran itu akan dibiayai oleh negara-negara Eropah dan dilaksanakan segera bagi meningkatkan kesiapsiagaan Ukraine menghadapi serangan udara berterusan dari Russia.

“Bantuan ketenteraan ini merangkumi senjata canggih dan sistem pertahanan udara bernilai berbilion dolar yang dijangka dihantar dalam masa terdekat.

“Kita mahu Ukraine memiliki keupayaan untuk bertindak mengikut kehendak mereka sendiri,” katanya.

Antara komponen utama bantuan itu termasuk sistem pertahanan udara Patriot milik negara-negara Eropah yang akan dipindahkan buat sementara ke Kyiv sebelum digantikan dengan sistem baharu keluaran Amerika Syarikat.

Trump turut memaklumkan jenis senjata yang akan dihantar tidak diperincikan sepenuhnya, namun merangkumi peluru berpandu dan peluru berkaliber tinggi yang akan dihantar terus ke medan konflik.

Dalam kenyataan sama, Trump memberi amaran akan melaksanakan tarif sekunder sebanyak 100 peratus terhadap mana-mana negara yang masih menjalankan perdagangan dengan Russia sekiranya tiada kemajuan rundingan damai dicapai dalam tempoh ditetapkan.

“Jika masih ada negara membeli minyak dari Russia, produk dari negara tersebut akan dikenakan cukai import berganda sekiranya mahu masuk ke pasaran kita,” tegasnya.

Langkah itu dijangka memberi tekanan ketara terhadap ekonomi Russia yang bergantung besar kepada hasil eksport minyak dan gas, yang kini merangkumi lebih 60 peratus daripada jumlah eksport negara tersebut.

Bagaimanapun, sejurus selepas pengumuman itu dibuat, Indeks Bursa Saham Moscow melonjak naik dipercayai berikutan pelabur menjangkakan tindakan yang lebih agresif daripada Washington.

Pengumuman tersebut juga merupakan kali pertama Trump secara rasmi menyatakan komitmen terhadap bantuan ketenteraan baharu kepada Ukraine sejak kembali ke White House, sekali gus memperlihatkan perubahan ketara terhadap Presiden Russia, Vladimir Putin.

“Saya tak mahu panggil dia pembunuh, tapi dia memang seorang yang keras.

“Dia telah memperdaya Clinton, Bush, Obama, Biden, tapi bukan saya,” ujarnya.

Trump mendedahkan bahawa beliau beberapa kali berbincang secara langsung dengan Putin bagi mencari penyelesaian damai, namun setiap kali perbualan berlangsung, ia diikuti dengan serangan udara besar-besaran oleh Russia ke atas Ukraine.

“Kalau selepas tiga atau empat kali kita bercakap dan setiap kali itu juga berlaku pengeboman, maka kita tahu kata-kata tidak lagi cukup. Ia perlukan tindakan,” tegasnya.

Setakat ini, Kremlin masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pengumuman tersebut.

Namun beberapa tokoh politik Russia memberi reaksi sinis terhadap langkah yang diambil oleh Washington.

Bekas penasihat Kremlin, Sergei Markov menyifatkan ancaman tarif sekunder sebagai ugutan kosong dan mendakwa Trump telah kehabisan pilihan dalam usaha mendorong rundingan damai.

Sementara itu, Senator Konstantin Kosachev menyatakan kenyataan Trump tidak membawa kesan besar dan tidak lebih daripada sekadar ribut dalam cawan.

“Pelbagai perubahan boleh berlaku dalam tempoh 50 hari, sama ada di medan perang mahupun dalam perimbangan kuasa global antara Amerika Syarikat, NATO dan Russia.

“Dalam dunia diplomasi, masa adalah senjata sama ada untuk perdamaian, atau untuk menekan,” jelasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button