Oleh DR. SITI SURIANI OTHMAN & SHAHRUL NAZIM FAUZANIZAM
ABAD ke-21 menyaksikan peningkatan pesat dalam teknologi yang mempengaruhi banyak bidang terutamanya pendidikan.
Sejak kemunculannya pada 22 November 2022, ChatGPT digunakan lebih 100 juta pengguna dalam kalangan pelajar, pendidik dan penyelidik.
ChatGPT adalah sebuah model bahasa generatif atau dalam bahasa mudahnya kecerdasan buatan (AI) yang dibangun dan dilatih untuk mewujudkan perbualan semula jadi.
Ia juga mampu melakukan tugasan mahupun berfungsi seakan atau menyerupai pemikiran manusia dalam dunia nyata.
Oleh sebab itu, tidak hairan ramai pelajar menggunakan ChatGPT kerana dapat mengurangkan beban terutama dalam aspek penyelidikan dalam pendidikan yang sekali gus menjimatkan banyak masa.

Namun, kita juga harus faham kesan baik dan buruk penggunaan teknologi ini daripada aspek pendidikan.
Ada yang merasakan kehadirannya ancaman masa depan pelajar terutamanya dari aspek membangunkan kemahiran teras, seperti penyelesaian masalah dan kebolehan analisis.
Dalam hal ini, penggunaan ChatGPT dilihat memudahkan proses kajian dan mendapatkan fakta namun mengurangkan kebolehan pelajar dalam pemikiran kritis.
Antara kelemahan lain ialah kurangnya interaksi personal seperti interaksi dengan manusia dalam pendidikan kanak-kanak, kebergantungan kepada teknologi, kurang memahami konteks sesuatu peristiwa, wujud masalah privasi data peribadi dan tidak dapat memenuhi keperluan pendidikan khusus bagi kanak-kanak istimewa.
Maka tidak hairan, ada pihak yang menyekat penggunaan ChatGPT di peringkat sekolah rendah seperti Jabatan Pendidikan New York City.
Walau bagaimanapun, potensi yang lebih baik dapat dilihat dari segi penggunaan ChatGPT di peringkat pengajian tinggi.
Sebagai contoh, proses penulisan tesis menjadi lebih mudah, cepat dan lancar kerana pelajar mempunyai akses informasi yang cepat dan berkesan.
Penulisan kajian pustaka juga menjadi jauh lebih cepat dan mudah berbanding 10 tahun lepas. Ini memudahkan pelajar-pelajar terutama di peringkat pasca siswazah.
Di samping itu, ChatGPT juga membantu mempercepat proses penulisan, baik dalam bentuk penulisan ilmiah mahupun penulisan kreatif.
Namun dalam konteks pendidikan, penulisan ilmiah yang melibatkan perancangan rapi dan dijalankan dalam tempoh yang panjang kini boleh dihasilkan dengan lebih cepat dan tepat.

Selain itu, ChatGPT juga membantu pelajar di peringkat pengajian tinggi untuk menyunting dan menyemak tatabahasa dalam penghasilan sesuatu karya akademik.
Ini pastinya mempercepatkan proses penghasilan karya dan menjimatkan berbanding hasil yang sebelum ini disemak oleh penyunting atau pembaca pruf dengan bayaran yang tinggi.
Maklumat yang dijana menerusi ChatGPT juga dapat mencetuskan perbincangan akademik di peringkat pengajian tinggi.
Dengan maklumat tersusun yang dijana, perbincangan lebih mendalam dapat diadakan dan pelajar dapat memahami sesuatu tajuk perbincangan dengan lebih mendalam yang mungkin mencetuskan idea untuk kajian masa hadapan.
Kelebihan-kelebihan lain termasuklah membantu proses pembelajaran bahasa, penambahbaikan kosakata dan meningkatkan pemikiran kritis andai digunakan untuk menjana lebih banyak idea untuk tujuan pendidikan.
Namun, penggunaan ChatGPT atau apa-apa sekalipun teknologi haruslah dengan penuh tanggungjawab.
Antara aspek paling penting yang harus diutamakan semua pengguna ialah memastikan maklumat yang diperoleh disahkan atau diverifikasikan agar maklumat yang digunakan itu betul.
Ini sangat penting kerana kita tidak mahu maklumat yang tidak tepat disebarkan dan akhirnya menjadi seolah-olah fakta yang benar.
Penggunaan ChatGPT dari segi etika juga harus difahami para pelajar. Maklumat yang dijana oleh teknologi ini harus difahami dan digunakan sebagai asas menulis dan menghasilkan karya akademik dan bukannya ditiru bulat-bulat sebagai hasil tugasan.
Selain itu, pelajar juga digalakkan untuk sentiasa aktif terlibat dalam proses pembelajaran dan berusaha memahami topik yang diajar menerusi kelas dan perbincangan serta aktiviti membaca dan menaakul serta menganalisis dan tidak hanya bergantung kepada teknologi semata-mata dalam proses pembelajarannya.
Semoga teknologi baharu ini dapat membantu proses pembelajaran pelajar dan bukannya menyekat kreativiti dengan memanjakan mereka dengan kemudahan yang ada.
*Penulis merupakan Pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) & Pelajar Kursus Sarjana Muda, Program Pengurusan dengan Pelancongan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








